KelSDeaf perlukan RM100,000 jayakan Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia

KOTA BHARU – Di sebalik misi mempertahankan kejuaraan di gelanggang sendiri, Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) kini berdepan cabaran lebih besar apabila masih memerlukan dana berjumlah RM100,000 bagi merealisasikan penganjuran Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Ke-6 2026 pada 1 hingga 6 September depan.
Presiden KelSDeaf, Saiful Helmie Dzamani bagaimanapun meluahkan rasa bangga diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan kebangsaan buat kali pertama.
Namun katanya, kekangan kewangan masih menjadi cabaran utama bagi memastikan temasya berkenaan berlangsung lancar.
Menurut beliau, kos asal penganjuran dianggarkan mencecah RM200,000, namun pihaknya berjaya mengurangkan perbelanjaan kepada kira-kira RM100,000 tanpa menjejaskan kualiti penganjuran.
"Kami berharap menjelang Ogos ini dana RM100,000 dapat dikumpulkan supaya kejohanan dapat dilaksanakan seperti dirancang.
"Beberapa bayaran deposit untuk sewaan gelanggang, penginapan dan urusan berkaitan juga perlu dijelaskan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Ujar beliau, pihaknya dijangka menerima bantuan kira-kira RM50,000 daripada kerajaan negeri termasuk pembiayaan sewaan gelanggang, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan kos penganjuran.
Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat korporat, usahawan serta individu yang prihatin tampil menghulurkan sumbangan bagi memastikan kejohanan tersebut dapat direalisasikan.
"Kami sudah menghantar permohonan kepada beberapa syarikat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), namun masih belum menerima sebarang keputusan.
"Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu menjayakan kejohanan, malah membuka ruang kepada atlet orang pekak mengembangkan bakat hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Saiful Helmie memberitahu, kejohanan yang akan berlangsung di N10 Sports Centre, Wakaf Bharu, Tumpat itu merupakan platform penting untuk mencungkil bakat baharu bagi menghadapi Asean Deaf Games, kejohanan Asia Pasifik dan Deaflympics.
Katanya, setakat ini penyertaan awal melibatkan tujuh pasukan lelaki termasuk Sabah dan Sarawak serta empat pasukan wanita termasuk Sabah, manakala pendaftaran masih dibuka hingga 10 Ogos dengan sasaran penyertaan daripada 14 negeri.
"Kami amat menghargai komitmen kontinjen Sabah dan Sarawak yang sanggup datang dari jauh demi menyertai kejohanan ini," katanya.
Mengulas persiapan pasukan Kelantan, ujar Saiful Helmie, atlet kini menjalani latihan secara sendiri berikutan kekangan dana, namun latihan berpusat akan diadakan apabila kejohanan semakin hampir.
Beliau berkata, sebagai juara bertahan, skuad futsal orang pekak Kelantan membawa misi besar untuk mengekalkan kejuaraan di hadapan penyokong sendiri.
"Rekod kami membuktikan kemampuan pasukan apabila muncul naib juara pada 2015 sebelum meraih gelaran juara pada 2017, 2024 dan 2025.
"Kami mahu mempertahankan kejuaraan dan pada masa sama memastikan Kelantan menjadi tuan rumah terbaik untuk kejohanan kali ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap atlet orang pekak diberikan layanan sama rata dalam pembangunan sukan negara termasuk akses kepada kemudahan latihan serta pengiktirafan setanding atlet lain.
Ujarnya, pembangunan sukan orang pekak di negara ini telah diiktiraf menerusi Akta Pembangunan Sukan 1997 dan sewajarnya mendapat sokongan berterusan daripada kerajaan serta sektor swasta.
"Sokongan yang diberikan bukan sekadar menjayakan sebuah kejohanan, tetapi menjadi pelaburan kepada masa depan atlet orang pekak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

