Kantoi pelihara helang bernilai RM100,000 secara haram

KLANG - Seekor burung helang bernilai RM100,000 yang dipelihara secara haram dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sungai Kapar Indah di sini pada Isnin.
Tindakan diambil menerusi Op Bersepadu Khazanah yang digerakkan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.
Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi kira-kira jam 9.40 malam itu telah merampas seekor burung pemangsa yang disyaki spesies Black-winged Kite yang dipelihara tanpa lesen atau permit sah.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi memiliki, menyimpan atau memelihara hidupan liar berkenaan.
"Serbuan turut merampas satu unit tempat hinggap burung yang diperbuat daripada paip PVC.
"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM100,020 termasuk nilai hidupan liar yang dianggarkan sebanyak RM100,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, rampasan spesies ini dipercayai merupakan antara kes pemilikan Black-winged Kite yang jarang dilaporkan dalam operasi penguatkuasaan hidupan liar di negara ini.
Tambahnya, kejayaan operasi itu merupakan hasil perkongsian maklumat dan kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia dengan Perhilitan dalam usaha membanteras aktiviti pemilikan dan eksploitasi hidupan liar secara tidak sah.
“PDRM melalui PSP akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan berkaitan dan sebarang maklumat mengenai aktiviti pemilikan, penyeludupan atau perdagangan hidupan liar secara haram akan diteliti serta diambil tindakan sewajarnya," katanya.
Black-winged Kite merupakan spesies burung pemangsa daripada keluarga Accipitridae yang mempunyai taburan semula jadi luas, khususnya di Afrika dan kawasan tropika Asia, selain turut ditemui di beberapa bahagian Eropah.
Spesies ini mudah dikenali melalui warna badan putih dan kelabu, tanda hitam pada bahagian sayap serta mata berwarna merah.
Ia lazimnya mendiami kawasan lapang dan memburu haiwan kecil terutamanya tikus.
Kes disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
