Pazuriatiayu pertahan warisan arang 45 tahun

Pazuriatiayu menunjukkan arang yang terjadi selepas menjalani proses penghasilan selama tiga minggu. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Pazuriatiayu menunjukkan arang yang terjadi selepas menjalani proses penghasilan selama tiga minggu. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Kepulan asap putih keluar perlahan-lahan dari relau yang dibina menggunakan bata merah dan tanah liat di Kampung Bukit Mak Lipah, Mahligai di sini.

Dari luar, binaan itu kelihatan biasa, namun bagi Pazuriatiayu Paudin, di situlah tersimpan lebih empat dekad kenangan bersama insan yang paling banyak mengajarnya tentang kehidupan.

Setiap kali melangkah masuk ke relau yang dipanggil gok oleh penduduk setempat, wanita berusia 50 tahun itu bukan sekadar melihat timbunan kayu yang sedang melalui proses pembakaran menjadi arang.

Sebaliknya, dia terbayang wajah arwah bapanya, Paudin Ismail yang memperkenalkan perusahaan itu kepada keluarga mereka sejak 1980.

Selepas pemergian bapanya pada 2023, Pazuriatiayu memikul amanah meneruskan perusahaan arang tradisional yang menjadi sumber rezeki keluarganya selama 45 tahun.

Walaupun pekerjaan itu sinonim dengan lelaki, dia tidak pernah menganggapnya sebagai halangan.

Tangan yang hitam diselaputi debu arang, pakaian berbau asap dan hidung yang dipenuhi jelaga sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupannya sejak kecil.

“Saya mula membantu ayah ketika darjah lima, pada usia 11 tahun. Balik sekolah, saya terus mengisi arang ke dalam plastik.

“Ayah ajar cara susun arang supaya cantik, padat dan mudah diangkat. Sejak kecil memang saya ikut acuan ayah. Kami adik-beradik seronok bantu kerana ayah seorang yang mesra dan suka bergurau.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun bermain dengan arang sampai hitam legam, ayah tidak pernah marah,” katanya sambil tersenyum mengimbau kenangan.

Sebagai anak sulung daripada 12 beradik, Pazuriatiayu mengakui perusahaan itu sebati dalam hidupnya.

Antara kenangan paling manis ialah ketika seluruh ahli keluarga menaiki lori bersama untuk menghantar arang ke kedai sekitar Kelantan.

“Sepupu-sepupu pun ikut. Anak saya juga sempat merasai pengalaman itu. Memang kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Pazuriatiayu (kiri) dan pekerja mengangkat kayu arang. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Pazuriatiayu (kiri) dan pekerja mengangkat kayu arang. Foto: ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, arwah bapanya mula menceburi perusahaan arang selepas menghantar kayu kepada seorang pengusaha di Bekelam, Bachok.

Daripada sekadar memerhati, arwah mula mempelajari cara menghasilkan arang sebelum membina gok sendiri dan mengembangkan perusahaan keluarga sehingga memiliki 10 buah relau.

Sehingga hari ini, lima daripadanya masih digunakan walaupun sudah berusia lebih 30 tahun.

Bagi Pazuriatiayu, pemergian bapanya meninggalkan kekosongan besar bukan sahaja dalam keluarga, malah terhadap perusahaan yang dibina dengan titik peluh sejak puluhan tahun lalu.

Dia akui pernah terdetik menghentikan perusahaan itu kerana terlalu penat, selain berdepan kesukaran mendapatkan bekalan kayu.

Namun, setiap kali hasrat itu muncul, dia teringat pelanggan tetap yang bergantung kepada arang keluarannya.

Semangatnya turut diperkukuh dengan sokongan suami, Nazri Md Sohor, 53, yang sentiasa berada di sisi membantu menguruskan perusahaan tersebut.

Menurutnya, suaminya bukan sekadar membantu mengangkat kayu dan mengawal pembakaran, malah mampu membina sendiri gok arang tradisional menggunakan teknik diwarisi daripada arwah bapanya.

Menghasilkan arang bukan sekadar membakar kayu seperti disangka ramai. Setiap proses memerlukan ketelitian dan kesabaran selama kira-kira tiga minggu sebelum arang benar-benar siap dipasarkan.

Kayu daripada kebun penduduk dipotong sepanjang kira-kira satu meter sebelum disusun dengan kemas di dalam gok.

Pintu relau kemudian ditutup menggunakan bata merah dan tanah liat bagi kawal kemasukan udara.

Api perlu dikawal dengan teliti sepanjang proses pembakaran. Jika terlalu besar, kayu akan jadi abu, manakala jika api padam, proses berkenaan perlu dimulakan semula.

“Seminggu untuk membakar, seminggu mengecilkan api dan seminggu lagi untuk menyejukkan arang sebelum boleh dikeluarkan.

“Bahagian paling sukar ialah mengawal api. Kalau api padam, memang susah untuk menghidupkannya semula,” katanya.

Menurutnya, arang berkualiti mestilah padat, berkilat, mudah dinyalakan, tidak mengeluarkan banyak asap dan tidak meletus ketika digunakan.

Selain kayu getah, mereka turut menggunakan kayu rambutan dan dokong bergantung kepada bekalan yang diperoleh.

Cabaran terbesar perusahaan itu ketika ini adalah mendapatkan bekalan kayu.

Jika dahulu kayu boleh diperoleh RM350 bagi satu lori, kini harganya meningkat kepada RM450 bagi muatan kira-kira tiga tan.

Relau atau gok yang digunakan untuk tujuan pembakaran kayu arang. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Relau atau gok yang digunakan untuk tujuan pembakaran kayu arang. Foto: ADILA SHARINNI WAHID

Kos diesel dan bahan pembungkusan turut meningkat, sekali gus menyebabkan kos pengeluaran semakin tinggi.

Bagaimanapun, permintaan terhadap arang tradisional masih kekal tinggi sehingga ada kalanya Pazuriatiayu terpaksa menolak tempahan kerana tidak mampu memenuhi kapasiti pengeluaran.

Antara pelanggan tetapnya ialah peniaga sate, ayam golek, roti tempayan, kedai makan dan kedai runcit di Kelantan.

Arang keluarannya turut dihantar kepada pelanggan di Ampang, Selangor.

Di sebalik kesibukan menguruskan perusahaan, satu perkara sering bermain di fikirannya adalah masa depan warisan keluarga tersebut.

Kesemua lima anaknya tidak menunjukkan minat meneruskan perusahaan itu kerana menganggap pekerjaan tersebut terlalu berat.

Walaupun sedih, Pazuriatiayu memahami pilihan mereka.

“Saya memang berharap ada anak yang akan menyambung perusahaan ini. Kalau tiada pewaris, saya sedih kerana terlalu sayangkan perusahaan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!