Cara PN tabur fitnah, tanam kebencian jadi politik toksik rosakkan negara - Kor Ming

Nga Kor Ming ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana “Kekal Harapan” di DUN Repah pada Jumaat.
Nga Kor Ming ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana “Kekal Harapan” di DUN Repah pada Jumaat.
A
A
A

TAMPIN - Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming mengecam cara pembangkang menabur fitnah dan menanam kebencian sekali gus menjadi politik toksik yang sedang merosakkan bangsa dan negara.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sewajarnya seluruh lapisan masyarakat mengutamakan nilai perpaduan nasional dan keharmonian serta mengelakkan sebarang naratif yang boleh menjejaskan keakraban hubungan antara kaum di negara ini.

Malah, beliau turut mengajak semua pihak untuk sama-sama merenung sejarah kebersamaan yang telah terjalin sekian lama sejak kemerdekaan pada tahun 1957.

“Kepelbagaian adalah tiang seri yang membentuk keindahan Malaysia sejak kemerdekaan negara kita pada tahun 1957," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana “Kekal Harapan” di DUN Repah, di sini, malam Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan penyokong DAP daripada pelbagai kaum sebagai pendatang yang jelas bersifat rasis dan ketinggalan zaman.

Beliau juga membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menabur kenyataan berbaur perkauman dan cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Menurutnya, masyarakat telah hidup dan membesar bersama di tanah air ini selama tujuh dekad.

"Sudah tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga besar yang saling hormat-menghormati dan bersikap penyayang.

“Cara PN menabur fitnah dan menanam kebencian merupakan politik toksik yang sedang merosakkan bangsa dan negara kita. Memandangkan laporan polis telah dibuat, pihak berkuasa wajib mengambil tindakan segera untuk mempertahankan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya memilih pendekatan politik yang lebih membina, harmoni dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa.

Bagi menyokong usaha ini, beliau berkongsi beberapa kejayaan yang telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Antaranya, di bawah pimpinan Pakatan Harapan, Kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya mencatat jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM19.1 bilion, jumlah rizab wang negeri tertinggi sebanyak RM1.31 bilion, jumlah pendapatan negeri tertinggi serta belanjawan lebihan selama empat tahun berturut-turut.

Selain itu, kerajaan turut menawarkan pelbagai kebajikan dan bantuan khas kepada warga emas, ibu tunggal, pelajar IPTA, perkhidmatan bas percuma, pasangan pengantin baharu serta bantuan kelahiran anak bagi meringankan beban hidup rakyat.

Selain itu, usaha berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan turut membuktikan keprihatinan terhadap rakyat, termasuk pembinaan 1,385 unit Rumah Mesra Rakyat dalam tempoh 4 tahun bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mempunyai tempat berteduh yang selesa, serta pemulihan projek sakit PR1MA Rantau yang membolehkan lebih 700 pembeli menerima kunci rumah impian mereka.

“Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, merupakan gandingan mantap terbaik untuk masa depan pembangunan Negeri Sembilan. Maka, marilah kita kekalkan momentum ini,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!