'PH mahu terus perluas pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan' - Tengku Zafrul

KUALA PILAH – Pakatan Harapan (PH) mahu meneruskan usaha memperluaskan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan bagi memastikan limpahan pembangunan dan peluang pekerjaan dinikmati secara lebih menyeluruh sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara fokus yang perlu diberi perhatian ialah memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya turut memberi limpahan kepada kawasan lain termasuk Kuala Pilah.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, isu peluang pekerjaan khususnya untuk golongan muda antara perkara yang dibangkitkan ketika beliau turun berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah.
"Di kawasan-kawasan seperti di Kuala Pilah ini yang mungkin limpahannya tak dapat secara lansung.
"Di sini kita perlu memastikan, saya pun di MIDA memang banyak bincang pasal isu-isu wilayah yang ada gap di antara pembangunan ekonomi," katanya ketika Program Walkabout Pekan Kuala Pilah pada Sabtu.

Hadir sama, calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan negeri di bawah PH sebelum ini telah berusaha memperluaskan kawasan pertumbuhan ekonomi termasuk menerusi pembangunan berkaitan pelaburan.
"Jadi kita kena teruskan dan kita dapat lihat di Negeri Sembilan ini memang cuba untuk meluaskan lagi Malaysia Vision Valley (MVV), tapi pada masa sama, ada lagi projek-projek lain di sekitar kawasan Negeri Sembilan agar pertumbuhan (ekonomi) yang lebih rata," katanya.
Sementara itu, Noorzunita berkata, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan terus memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk peluang pekerjaan, pendidikan dan kebajikan warga emas.
Katanya, peluang pekerjaan untuk golongan muda antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Kita nak tingkatkan dari segi peluang pekerjaan kepada anak muda. Gen Z. Itu yang suara-suara anak muda yang saya dengar selama saya berkhidmat di sini.
"Mereka bercakap kepada saya sebagai calon untuk berikan banyak peluang pekerjaan di Kuala Pilah. Mungkin kita cari satu peluang masuk pelabur.
"Di Kuala Pilah ini untuk kita bagi ruang anak muda menjana ekonomi tidak berhijrah jauh dari Kuala Pilah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

