Hilang sebulan, anjing muncul dalam lautan penyokong Piala Dunia

Kisah La Gorda menjadi tular di seluruh dunia.
Kisah La Gorda menjadi tular di seluruh dunia.
A
A
A

MEXICO – Seekor anjing peliharaan yang dilaporkan hilang selama hampir sebulan ditemui semula dalam keadaan tidak disangka-sangka apabila pemiliknya mengenal pasti haiwan itu menerusi rakaman siaran langsung sambutan kemenangan Mexico pada Piala Dunia 2026.

Pemiliknya, Ale García, berkata, beliau hampir tidak percaya apabila abangnya menghubungi dan memaklumkan ternampak anjing kesayangannya, La Gorda, 6, dalam lautan penyokong yang meraikan kemenangan Mexico ke atas Republik Czech.

Pada mulanya, wanita berusia 24 tahun itu menganggap perkara tersebut mustahil kerana lokasi sambutan terletak jauh dari rumahnya.

Bagaimanapun, selepas menonton semula rakaman siaran langsung di Facebook, García yakin anjing berusia enam tahun itu memang La Gorda yang hilang selepas meloloskan diri melalui celah kecil pagar rumah kira-kira sebulan lalu.

Tanpa membuang masa, García bersama rakannya bergegas ke lokasi sambutan dan mula memanggil nama La Gorda.

Anjing itu kemudian berlari mendapatkan pemiliknya dalam keadaan kurus serta tempang, namun masih mampu mengenali suara tuannya.

Menurut García, La Gorda terkenal sebagai anjing yang bijak tetapi gemar melarikan diri sejak kecil.

Katanya, beberapa kali pagar rumah telah dibaiki bagi menghalang haiwan itu keluar, namun La Gorda tetap berjaya mencari ruang untuk meloloskan diri.

Kisah tersebut pantas tular di media sosial dengan ramai netizen menyifatkannya sebagai satu keajaiban, selain membuktikan kuasa media sosial dalam membantu menyatukan semula haiwan peliharaan dengan pemiliknya.

Artikel Berkaitan:

Rakaman berkenaan turut disenaraikan antara detik paling mencuri perhatian sepanjang Piala Dunia 2026, walaupun tidak berlaku di atas padang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!