Jual dadah masa PKP hasil lumayan

Dadah yang dirampas di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol Mukim Kuala Teriang, Langkawi, malam tadi. - Foto Ihsan Polis
Dadah yang dirampas di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol Mukim Kuala Teriang, Langkawi, malam tadi. - Foto Ihsan Polis
A
A
A

LANGKAWI - Seorang penganggur mendakwa menggunakan duit Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterima sebagai modal membeli bekalan dadah sebelum menjualnya semula kepada penagih lain.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki itu juga mengaku hasil menjual dadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih lumayan berbanding hari biasa.

Menurutnya, suspek ditangkap ketika sedang menanti pelanggan di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol Mukim Kuala Teriang, dekat sini kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Lelaki berkenaan ditangkap oleh sepasukan polis yang melaksanakan rondaan penguatkuasaan PKP Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, polis turut menemui tiga paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 11.75 gram dengan bernilai kira-kira RM500.

"Anggota polis juga menemui enam keratan straw berisi disyaki berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3.84 gram dan bernilai kira-kira RM300.

"Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 dan Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPP&PPB) 2020 dan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: