Polis kenal pasti identiti enam maut kemalangan di Karak

Enam lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori satu tan di Jalan Karak Lama berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Bentong pada awal pagi Sabtu. Foto JBPM
Enam lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori satu tan di Jalan Karak Lama berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Bentong pada awal pagi Sabtu. Foto JBPM
A
A
A

KUANTAN - Polis mengenal pasti identiti enam lelaki yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori satu tan di Kilometer (KM) 86 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak, Bentong pada kira-kira 4 pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mereka ialah pemandu kereta V Mugilan, 25, dan rakannya K Dineshvaran, 22, K Alaganathan, 21, A Kanabati Raja, 19, S Kiisven, 17, serta M Paranthaman, 16. 

Beliau berkata, pemandu lori yang berusia 31 tahun pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan badan. 

"Siasatan mendapati kereta Toyota Camry dinaiki mangsa dari arah Kuantan menuju ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan di lokasi kejadian yang menuruni bukit dan berselekoh lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kereta Toyota Camry dinaiki mangsa dari arah Kuantan menuju ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan.
Kereta Toyota Camry dinaiki mangsa dari arah Kuantan menuju ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan.

Azry Akmar berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan berhemah serta tidak membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Terdahulu, enam lelaki dilaporkan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori satu tan di Jalan Karak Lama berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Bentong pada awal pagi Sabtu. Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Enam maut kemalangan ngeri membabitkan kereta, lori satu tan

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!