Cuba rasuah polis elak ditahan

Kedua-dua suspek kes dadah yang berjaya ditahan.
Kedua-dua suspek kes dadah yang berjaya ditahan.
A
A
A

KEMAMAN - Bimbang diberkas polis dua lelaki dipercayai pengedar dadah cuba merasuah anggota terbabit dengan menawarkan wang tunai RM5,000, dalam kejadian berhampiran susur keluar Chukai di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) tengah hari tadi.

Bagaimanapun, rayuan kedua-dua lelaki itu tidak diendahkan malah polis turut merampas dadah milik mereka bernilai lebih RM12,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika motosikal yang dinaiki dua lelaki itu dilihat berpatah balik apabila menyedari ada sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.

"Curiga dengan tindakan mereka, Ketua Polis Balai Pasir Gajah bersama seorang lagi anggota mengekori motosikal berkenaan dan menahan mereka selepas tujuh kilometer dari lokasi sekatan jalan raya.

"Hasil pemeriksaan menemui lebih 50 gram dadah jenis syabu, tiga botol heroin seberat 18 gram dan 400 biji pil kuda yang kesemuanya bernilai RM12,200 yang disimpan di dalam sebuah beg sandang.

"Kita juga merampas sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM5,096. Mereka juga cuba merasuah polis dengan wang tunai RM5,000 bagaimanapun tidak dilayan," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pasir Gajah di sini hari ini.

Antara barangan rampasan bagi kes dadah.
Antara barangan rampasan bagi kes dadah.

Jelas Hanyan, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki yang berusia 51 tahun itu mempunyai 23 rekod jenayah berkaitan dadah manakala suspek kedua berusia 46 tahun mempunyai 5 rekod jenayah berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan berhampiran susur Tol Chukai kira-kira jam 10.30 pagi semalam,

Lelaki berkenaan memberi alasan tidak munasabah iaitu mencari barang di bandar sebelum diminta berpatah balik tetapi tidak diendahkan.

"Dia kemudiannya dengan suara yang agak tinggi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis.

"Lelaki itu direman selama tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis dan Peraturan 11(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2020," katanya.

Hanyan (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan rampasan.
Hanyan (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan rampasan.