Polis tahan penuntut wanita bantu kes penemuan mayat bayi di rumah sampah asrama

SHAH ALAM - Polis menahan seorang penuntut wanita bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi yang dibalut dengan kain di rumah sampah sebuah blok asrama institusi pengajian tinggi di Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek berusia belasan tahun ditahan susulan laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung penemuan mayat itu pada 12.20 tengah hari.
"Suspek dipercayai ibu kepada bayi itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd Akmalrizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
