Harga minyak melepasi AS$100 setong, pasaran saham jatuh

Pedagang menjalankan urus niaga di Bursa Saham New York (NYSE) di New York pada 23 Julai 2026. Pasaran saham merosot ketara pada sesi dagangan petang apabila harga minyak dunia melonjak susulan konflik yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Foto AFP
Pedagang menjalankan urus niaga di Bursa Saham New York (NYSE) di New York pada 23 Julai 2026. Pasaran saham merosot ketara pada sesi dagangan petang apabila harga minyak dunia melonjak susulan konflik yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Harga minyak melonjak melepasi paras AS$100 setong pada Khamis selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan terhadap perkapalan di Laut Merah, manakala ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk melancarkan serangan balas menyebabkan pasaran saham global merudum.

Penanda aras minyak Brent Laut Utara melonjak tujuh peratus kepada lebih AS$100 setong, sekali gus melepasi paras psikologi penting itu apabila serangan berkenaan berpotensi membuka satu lagi medan konflik di Asia Barat, selain Trump mengancam Houthi dengan tindakan ketenteraan besar-besaran.

Sementara itu, Iran berikrar akan terus melancarkan serangan di rantau Teluk selagi negara itu menjadi sasaran serangan tentera AS.

Selain kenaikan mendadak harga minyak, pasaran Wall Street turut terjejas susulan laporan pendapatan syarikat induk Google, Alphabet dan Tesla yang mengecewakan pelabur.

Saham Alphabet susut 6.9 peratus, manakala Tesla menjunam 14.5 peratus apabila kedua-dua syarikat itu dikritik berhubung perbelanjaan modal yang besar.

Selain kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak dan kelemahan sentimen berkaitan kecerdasan buatan (AI), pelabur di Wall Street juga mula bimbang terhadap faktor bermusim kerana penghujung musim panas secara tradisinya merupakan tempoh yang lemah bagi pasaran saham.

"Kalender pasaran memang tidak menyebelahi pelabur ketika ini," kata Art Hogan daripada B Riley Wealth Management.

Tetapi yang lebih membimbangkan ialah ketegangan dengan Iran semakin memuncak, bukannya semakin reda.

Serangan di Laut Merah turut meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global ketika penghantaran melalui Selat Hormuz sudah pun terganggu dengan ketara.

Artikel Berkaitan:

Arab Saudi sebelum ini menggunakan laluan Laut Merah untuk mengeksport berjuta-juta tong minyak yang lazimnya dihantar melalui Selat Hormuz.

Justeru, jika laluan itu turut terjejas, lebih banyak bekalan minyak akan hilang daripada pasaran.

"Jika Arab Saudi tidak lagi dapat menghantar tambahan minyak mentah yang dialihkan dari Teluk Parsi sebelum ini, gangguan bekalan akan menjadi lebih buruk kepada seluruh dunia ketika inventori komersial minyak terus menyusut," kata Andy Lipow daripada Lipow Oil Associates.

Penganalisis berkata, kenaikan harga minyak juga meningkatkan risiko inflasi serta kenaikan kadar faedah, sekali gus menjejaskan sentimen pelabur.

Hasil bon kerajaan turut meningkat, memberi tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan di seluruh dunia.

Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde menyifatkan laporan mengenai serangan Houthi sebagai membimbangkan, namun berkata ia berlaku terlalu lewat untuk diambil kira dalam keputusan ECB mengekalkan kadar faedah pada Khamis.

"Situasi di Laut Merah jelas akan memberi kesan dan sebenarnya sudah pun memberi impak.

"Kita dapat melihatnya melalui harga minyak Brent yang berubah hampir setiap jam," katanya.

Selera pelabur terhadap sektor AI turut diuji sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan kebimbangan mengenai penilaian syarikat yang tinggi serta persoalan bila pelaburan besar dalam sektor itu akan mula memberikan pulangan.

Keputusan kewangan Microsoft, Meta dan Amazon minggu depan dijangka menjadi tumpuan, khususnya berkaitan rancangan perbelanjaan modal masing-masing. Ketiga-tiga saham syarikat teknologi itu ditutup lebih rendah pada Khamis.

Walaupun kebanyakan sektor perindustrian AS mencatatkan penurunan, sektor tenaga kekal mencatatkan kenaikan.

Sektor pertahanan turut menunjukkan prestasi kukuh apabila RTX dan Lockheed Martin melaporkan keputusan kewangan yang memberangsangkan, didorong peningkatan perbelanjaan Pentagon susulan konflik AS-Iran.

Saham RTX meningkat 7.3 peratus, manakala Lockheed Martin melonjak 10.5 peratus. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!