Bonus tiga bulan bukti kewangan Negeri Sembilan kukuh

Peningkatan bantuan kewangan khas kepada penjawat awam Negeri Sembilan kepada tiga bulan gaji pada 2025 mencerminkan kedudukan fiskal kerajaan negeri. Gambar kecil: Mohd Faisol
Peningkatan bantuan kewangan khas kepada penjawat awam Negeri Sembilan kepada tiga bulan gaji pada 2025 mencerminkan kedudukan fiskal kerajaan negeri. Gambar kecil: Mohd Faisol
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan bantuan kewangan khas kepada penjawat awam Negeri Sembilan daripada bersamaan sebulan gaji pada 2018 kepada tiga bulan gaji pada 2025 mencerminkan kedudukan fiskal kerajaan negeri yang semakin kukuh hasil pengurusan kewangan dan perancangan ekonomi yang berkesan.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, trend peningkatan bantuan tersebut bukan sekadar menunjukkan kemampuan kerajaan negeri, malah menggambarkan pertumbuhan hasil yang disokong oleh dasar ekonomi yang lebih strategik dan mampan.

“Peningkatan itu juga menunjukkan perubahan pendekatan kerajaan negeri terhadap kakitangan dalam mendepani kos sara hidup yang tinggi akibat ketidaktentuan ekonomi global.

“Pada masa sama, ia dilihat mampu meningkatkan motivasi dan produktiviti penjawat awam, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, langkah itu juga boleh dianggap sebagai satu bentuk perkongsian hasil pertumbuhan ekonomi negeri dengan kakitangan awam yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.

Menurutnya, ia juga menunjukkan keyakinan kerajaan negeri terhadap keupayaan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam memastikan pembangunan ekonomi mapan demi kesejahteraan rakyat.

Mengulas faktor yang membolehkan sesebuah kerajaan negeri meningkatkan bantuan kewangan dari semasa ke semasa, Mohd Faisol berkata, ia lazimnya didorong oleh peningkatan hasil kerajaan hasil pengurusan kewangan yang cekap, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan serta pertumbuhan ekonomi yang konsisten.

“Selain itu, pertumbuhan ekonomi negeri menunjukkan peningkatan setiap suku tahunan memberi gambaran berlakunya impak positif pelaburan masuk, kerancakan aktiviti perniagaan domestik dan wujudnya pertumbuhan sektor-sektor seperti perindustrian dan perkhidmatan.

“Peningkatan bantuan kewangan daripada satu bulan kepada tiga bulan bukan sesuatu yang lazim sebaliknya ia satu pencapaian signifikan yang tidak boleh dinafikan.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana kesilapan dan semborono membuat peningkatan kepada penjawat awam tanpa justifikasi yang kukuh boleh meruntuhkan ekonomi negeri di masa hadapan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian bantuan kewangan yang lebih tinggi mampu memberi kesan berganda kepada ekonomi domestik apabila ia meningkatkan pendapatan boleh guna serta kuasa beli penjawat awam.

Tambahnya lagi, lebihan pendapatan itu bukan sahaja digunakan untuk perbelanjaan harian, malah boleh disalurkan kepada simpanan dan pelaburan jangka panjang.

“Hasilnya ekonomi domestik negeri akan mengalami permintaan tinggi kerana penjawat awam mempunyai lebihan kuasa membeli hasil daripada bonus yang diberikan.

“Secara tidak langsung ia memberi kitaran yang positif kepada ekonomi negeri kerana rakyat, peniaga dan pihak industri serta kerajaan turut sama mendapat limpahan ini secara keseluruhannya,” ujar beliau.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!