Mohon bantuan kewangan RM300,000 dengan dokumen palsu, bekas penjawat awam ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas penjawat awam direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu membabitkan program bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM300,000.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an itu bermula hari ini hingga Jumaat dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 6 petang Isnin ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2025 ketika masih berkhidmat sebagai penjawat awam," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan maklumat 11 individu tanpa pengetahuan mereka bagi tujuan permohonan bantuan berkenaan.
"Suspek dipercayai memperoleh wang bantuan antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib mengesahkan penahanan berkenaan ketika dihubungi.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
