Bonnie sekadar gangsa, dakwa arahan 'rack' jejas peluang emas

Jaguh Para Powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bersama pingat gangsa Para Powerlifting Lightweight Lelaki sempena Temasya Sukan Komanwel Glasgow di SEC Armadillo hari ini. Foto Bernama
Jaguh Para Powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bersama pingat gangsa Para Powerlifting Lightweight Lelaki sempena Temasya Sukan Komanwel Glasgow di SEC Armadillo hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JAGUH para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin kecewa apabila gagal mempertahankan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lalu selepas sekadar meraih gangsa dalam kategori lightweight lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, hari ini.

Bonnie mendakwa beliau belum sempat menyempurnakan angkatan terakhir seberat 230 kilogram (kg) apabila pengadil memberikan arahan 'rack' pada saingan yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Juara Paralimpik dua kali itu berkata, angkatan 230kg merupakan strategi yang dirancang bagi membolehkannya memperbaiki kedudukan sekali gus memburu pingat emas.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk menerima keputusan pengadil dan tidak mengemukakan bantahan.

"Untuk angkatan terakhir, saya memang mahu melakukan 230kg. Ketika itu saya belum selesai meletakkan palang di rak tetapi pengadil sudah memberikan arahan 'rack'.

"Tidak mengapa, mungkin bukan rezeki saya di sini. Saya menerima keputusan itu kerana masih banyak lagi rezeki lain,” kata juara dunia empat kali itu ketika ditemui selepas pertandingan.

Mengulas lanjut, Bonnie mengakui terkilan kerana gagal mengulangi kejayaan meraih pingat emas pada edisi Birmingham 2022, selain memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalannya.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 27 tahun itu berkata, kegagalan di Glasgow tidak akan mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, pada Oktober depan.

"Saya akan berlatih dengan lebih keras untuk menghadapi Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya. Selepas pulang nanti, saya akan kembali menjalani latihan dan fokus kepada sasaran saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada saingan hari ini, Bonnie mencatat angkatan terbaik 220kg untuk mengumpul 153.5 mata sekali gus meraih pingat gangsa.

Pingat emas menjadi milik atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg untuk mengumpul 153.9 mata, manakala wakil Nigeria, Roland Ezuruike meraih perak selepas mencatat angkatan 185kg dengan mengumpul 153.9 mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!