3.2 tan minyak masak bersubsidi dirampas, guna kenderaan persendirian

Taktik menyeludup 3.2 tan minyak masak bersubsidi menggunakan kenderaan persendirian akhirnya terbongkar apabila selepas empat lelaki diberkas dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Pasir Mas pada Rabu.
Taktik menyeludup 3.2 tan minyak masak bersubsidi menggunakan kenderaan persendirian akhirnya terbongkar apabila selepas empat lelaki diberkas dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A

PASIR MAS – Taktik menyeludup 3.2 tan minyak masak bersubsidi menggunakan kenderaan persendirian akhirnya terbongkar apabila selepas empat lelaki diberkas dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Pasir Mas pada Rabu.

Terdahulu, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengekori suspek sejauh kira-kira 60 kilometer (km) sebelum menahan mereka di lokasi berasingan.

Pengarah KDPN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu turut menyita dua buah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM48,245.

Menurut beliau, operasi bermula kira-kira jam 6 petang itu dijalankan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan dengan kerjasama KPDN Cawangan Pasir Mas, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPMW3) Pengkalan Kubor serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.

"Hasil risikan dan pemantauan selama beberapa hari mendapati sebuah kenderaan disyaki membawa barang kawalan dari Terengganu memasuki Kelantan melalui laluan Jerteh - Pasir Putih, Machang -Tanah Merah sebelum menuju ke Pasir Mas.

"Pasukan operasi kemudian mengekori pergerakan suspek sejauh kira-kira 60 km bagi mengenal pasti modus operandi serta destinasi akhir sebelum tindakan pintasan dilakukan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ujar beliau serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 18 dan 29 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu turut disita sebuah Toyota Unser serta 1,598 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM23,995.

"Serbuan kedua di Jalan Ban Repok-Kampung Pak Teh Kana, Pasir Mas pula menahan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 39 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Dalam serbuan itu, pasukan operasi merampas sebuah Mitsubishi Pajero bersama 1,700 kg minyak masak bersubsidi dengan nilai sitaan RM24,250," katanya.

Menurut Hanif, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

"KPDN Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi serta memastikan bekalan bersubsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!