Siti Nurhaliza terima Ijazah Kehormat Seni Kreatif dan Media

BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menganggap penganugerahan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University sebagai satu penghormatan yang besar.
Siti Nurhaliza menerusi satu kenyataan meluahkan rasa syukur di atas pengiktirafan yang diterimanya daripada Fakulti Seni dan Sains Sosial universiti berkenaan.
Menurut penyanyi tersohor negara itu, pengiktirafan diterima bukan sekadar penghargaan terhadap perjalanan seninya, malah turut dianggap sebagai pengiktirafan kepada seluruh warga industri muzik dan seni kreatif negara.

"Syukur alhamdulillah, pengiktirafan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University ini adalah satu penghormatan yang sangat besar.
"Ini bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seni saya seorang tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.
"Terima kasih kepada pihak pengurusan Sunway University di atas penghormatan yang cukup bermakna ini," katanya dalam satu kenyataan itu laman Facebooknya pada Khamis.
Menurutnya lagi, pengiktirafan berkenaan secara tidak langsung membuktikan bahawa penglibatan dalam bidang seni dan media kini mendapat tempat serta dihormati oleh dunia akademik.
Beliau turut berharap agar anugerah tersebut dapat dijadikan sumber inspirasi buat pengamal seni tempatan serta generasi muda untuk terus berkarya.
"Pengiktirafan ini membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij dan dihormati oleh dunia akademik.
"Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika dan membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi. Terima kasih @sunwayuniversity," katanya.
Sementara itu, pihak Sunway University dalam kenyataan mereka turut menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau atas penerimaan ijazah kehormat berkenaan.
Menurut kenyataan universiti itu, anugerah berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang serta perjalanan seni beliau yang memberi inspirasi.
"Tahniah kepada Dato' Sri Siti Nurhaliza Taruddin atas penerimaan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Fakulti Seni dan Sains Sosial, Sunway University.
"Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang dan perjalanan beliau yang memberi inspirasi dalam industri seni dan kreatif. Detik yang benar-benar tidak dapat dilupakan," kata kenyataan rasmi Sunway University.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

