Nahas Karak: Impian Kiisven bina kerjaya dalam bidang automotif tidak kesampaian

TEMERLOH - Impian remaja berusia 17 tahun, S K Kiisven membina kerjaya dalam bidang automotif tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam kemalangan di Kilometer (KM) 86 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak, Bentong awal pagi tadi.
Bapanya, C Sasi Kumar, 47, yang bekerja sebagai penyelia ladang berkata, anak keduanya sedang mengikuti pengajian di sebuah akademi kemahiran di Karak, Bentong dalam bidang tersebut.
"Dia memang minat dengan kereta dan motosikal, menyebabkan dia memilih untuk belajar dalam bidang automotif di Karak dan akan pulang ke kampung pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Sasi Kumar berkata, kali terakhir mereka bertemu ialah kira-kira jam 1 pagi di sebuah kuil berdekatan rumah di Sungai Kawang, Lanchang, di sini ketika membuat persiapan untuk upacara keagamaan hari ini.
"Saya pulang ke rumah kerana mengantuk sebelum menerima panggilan telefon pada 4.30 pagi memaklumkan Kiisven kemalangan dan terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Kiisven antara enam mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori pada kira-kira 4 pagi tadi.
Selain remaja itu, mereka yang maut ialah pemandu kereta V Mugilan, 25, K Dineshvaran, 22, K Alaganathan, 21, A Kanabati Raja, 19, dan M Paranthaman, 16, manakala pemandu lori berusia 31 tahun cedera parah.
Terdahulu, polis memaklumkan siasatan awal mendapati kereta Toyota Camry dinaiki mangsa dari arah Kuantan menuju ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan di lokasi kejadian yang menuruni bukit lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
