PRN Negeri Sembilan: Pas nafi arah ahli parti wajib undi calon BN, MCA dan MIC

SHAH ALAM - Pas menafikan hantaran palsu yang sedang tersebar di media sosial berhubung arahan wajib menyokong dan mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN), MCA serta MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Jabatan Penerangan Pas Pusat berkata, parti tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahupun arahan sedemikian kepada ahli-ahli Pas.
"Pas menafikan hantaran palsu yang sedang tersebar di media sosial," katanya ringkas di Facebook pada Khamis.
Kenyataan media palsu yang memetik nama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 22 Julai itu tular meskipun kedua-dua parti memang menjalinkan kerjasama dalam PRN Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan persefahaman yang terjalin antara Perikatan Nasional (PN) dan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan bertujuan merampas pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, ia dirangka bagi memaksimumkan peluang pembangkang menewaskan PH yang kini mentadbir Negeri Sembilan.
Mohd Amar menambah, kerjasama antara dua gabungan itu di Negeri Sembilan hanya persefahaman pilihan raya dan bukannya jalinan politik secara rasmi.
PN pada 16 Julai lalu mengumumkan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung 1 Ogos ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail, Seremban.
Menurut beliau, daripada 11 kerusi yang ditandingi, sebanyak lima kerusi diperuntukkan kepada Pas, empat Parti Wawasan Rakyat (Wawasan), satu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan satu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan gabungan itu melengkapkan 'puzzle' kerusi yang tidak ditandingi BN di mana parti itu hanya meletakkan calon di 25 DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
