Pemimpin UMNO kurang senang cadangan nama 'Perikatan Barisan Nasional'

Wan Rosdy (kiri), Asyraf Wajdi dan Jalaluddin Alias (kanan)
Wan Rosdy (kiri), Asyraf Wajdi dan Jalaluddin Alias (kanan)
A
A
A

SEREMBAN - Beberapa pemimpin UMNO dilihat kurang senang dengan istilah 'Perikatan Barisan Nasional' yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan istilah tersebut sebagai tidak relevan kerana ia bukannya pembentukan sebuah gabungan politik baharu.

Sebaliknya kata beliau, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang diwujudkan hanyalah persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

"Kenyataan beliau (Hamzah) itu di luar daripada konteks kita bincangkan sebelum ini. Bagi saya istilah itu tidak relevan, ia hanya gabungan semasa ini. Saya pun tak tahu apa tafsiran dia (Hamzah),” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas program kempen PRN Negeri Sembilan di Palong 4, Jempol, malam Rabu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang turut hadir dalam program terbabit menegaskan , kepimpinan BN tidak pernah membincangkan atau meluluskan penggunaan nama baharu itu.

Jelasnya, kerjasama yang terjalin dengan PN hanya berasaskan persefahaman bagi mengelakkan pertindihan kerusi serta memastikan kemenangan bersama.

"Mengenai Perikatan Barisan Nasional, itu kenyataan dia. Kami kepimpinan tak pernah setuju.

“Biar kita bekerjasama dan mempunyai kesefahaman, tidak bertindih kerusi dan sama-sama menang dalam PRN Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita boleh bekerjasama dengan baik, insya-ALLAH Negeri Sembilan menjadi permulaan dan pencetus kepada suatu penyatuan yang didambakan oleh umat Islam keseluruhannya,” katanya

Beliau turut meminta semua pihak menerima dengan ikhlas kerjasama yang dibentuk demi memastikan gabungan itu kembali kukuh dan mampu mentadbir negeri dengan cemerlang sekiranya diberi mandat rakyat.

“Kita kena ikhlaskan. Kita minta Allah rahmati kerjasama ini dan mudah-mudahan dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias beranggapan soal nama untuk gabungan kerjasama BN-PN bagi menghadapi pilihan raya itu bukanlah sesuatu yang harus difikirkan.

"Itu cadangan beliau (Hamzah) saja dan ia akan ditentukan oleh kedua-dua pucuk pimpinan.

"Tapi saya fikir ia tidak memberikan sesuatu yang besar dan bukanlah sesuatu yang harus difikirkan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!