Isu hak tanah: 28 NGO Orang Asli tuntut dua ahli Parlimen kerajaan mohon maaf

Penjelasan itu penting bagi memastikan hak, maruah dan kepentingan masyarakat Orang Asli tidak terjejas. Gambar hiasan
Penjelasan itu penting bagi memastikan hak, maruah dan kepentingan masyarakat Orang Asli tidak terjejas. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 28 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Orang Asli menuntut dua ahli Parlimen kerajaan menarik balik kenyataan berhubung dakwaan komuniti itu menolak cadangan penubuhan Lembaga Adat Hak Tanah Adat.

Menerusi satu kenyataan bersama, kumpulan berkenaan turut menuntut kedua-dua wakil rakyat tersebut iaitu Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Kota Samarahan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memberi penjelasan secara terbuka terhadap kenyataan yang dibuat sebelum ini.

Menurutnya, penjelasan itu penting bagi memastikan hak, maruah dan kepentingan masyarakat Orang Asli tidak terjejas.

"Kami ingin menegaskan bahawa tanah adat dan pendidikan bukanlah dua perkara yang perlu dipilih antara satu sama lain. Kedua-duanya adalah hak yang saling melengkapi.

"Tanah adat merupakan asas identiti, budaya, maruah, sejarah, keselamatan ekonomi dan kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli. Pendidikan pula membuka peluang kepada generasi muda membina masa depan yang lebih baik. Menafikan salah satu daripadanya bererti menafikan hak Orang Asli secara keseluruhannya.

"Ramai ibu bapa Orang Asli masih membiayai pendidikan anak-anak hasil daripada kebun dan tanah adat mereka. Tanah itulah yang membantu menghantar anak-anak ke sekolah, kolej dan universiti," katanya kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

28 NGO itu terdiri antaranya Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) dan Pertubuhan Wanita Orang Asal Malaysia (PWOAM).

Pada 8 Julai lalu, Rubiah ketika di Dewan Rakyat dilapor berkata, ramai Orang Asli menolak cadangan penubuhan lembaga berkenaan, manakala Ramli pada 13 Julai membuat kenyataan dengan mengatakan isu tanah adat hanyalah 'retorik' dan yang paling penting ialah pendidikan.

Mengulas lanjut, kenyataan bersama tersebut turut meminta Kerajaan Persekutuan Persekutuan mengadakan rundingan yang telus, bermakna dan menyeluruh bersama komuniti berkenaan sebelum menggubal sebarang dasar berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kerajaan negeri dituntut memperkukuhkan usaha melindungi tanah adat Orang Asli daripada pencerobohan, pembersihan tanah secara tidak sah dan sebarang bentuk ancaman terhadap komuniti.

"Kami juga menuntut semua pemimpin politik dan penjawat awam supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan Orang Asli serta menghormati hak, maruah dan kedudukan masyarakat Orang Asli sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan," katanya.

Dalam pada itu, komuniti berkenaan turut menegaskan pihaknya komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi-institusi berkaitan dan semua pihak yang berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang adil, berasaskan dialog, penghormatan terhadap hak masyarakat Orang Asli serta kedaulatan undang-undang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!