Lelaki cenderung pendam emosi, sukar berkongsi dengan pasangan - LPPKN

Nanyak isu melibatkan lelaki yang tidak sedar tingkah laku mereka mewujudkan masalah. Gambar hiasan.
Nanyak isu melibatkan lelaki yang tidak sedar tingkah laku mereka mewujudkan masalah. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cabaran terbesar dalam membendung isu maskuliniti toksik dalam sesebuah rumah tangga bukanlah keengganan untuk berubah, sebaliknya ketidaksedaran lelaki bahawa tindakan mereka sebenarnya menimbulkan masalah kepada pasangan.

Ketua Penolong Pengarah Unit Kaunseling dan Intervensi Bahagian Kesejahteraan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman berkata keadaan itu dalam fasa psikologi disebut sebagai prakontemplasi.

"Dalam kes kaunseling yang kami jalankan di LPPKN, banyak isu melibatkan lelaki yang tidak sedar tingkah laku mereka mewujudkan masalah.

"Maksudnya, mereka berada dalam fasa prakontemplasi, tidak tahu perkara itu tidak elok dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya semasa Podcast KASIH Lensa Keluarga "Lelaki Budiman, Bukan Sekadar Macho”.

Beliau berkata, isu prakontemplasi itu bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya terhasil daripada proses pembesaran dan corak asuhan sejak kecil.

Md Noh berkata, lelaki mewarisi perilaku atau personaliti daripada persekitaran terdahulu tanpa menyedari tindakan itu diserap menjadi sebahagian daripada identiti mereka, termasuk kecenderungan bertindak secara fizikal ketika marah.

"Justeru, apabila dewasa lelaki cenderung berpegang kepada prinsip ‘Inilah diri aku, kenapa aku nak berubah’.

"Lelaki tidak merasakan ada keperluan untuk berubah dan sifat inilah yang menyebabkan wanita melihat mereka sebagai lelaki yang mempunyai sifat maskuliniti toksik,” katanya.

Menurut Md Noh, stigma masyarakat juga menyumbang kepada prakontemplasi kerana sejak kecil anak lelaki dididik supaya tidak menunjukkan kelemahan atau menangis, akhirnya mereka membesar dengan memendam emosi sendiri dan gagal memahami impak emosi terhadap pasangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, untuk menjadi seorang lelaki budiman yang mengamalkan maskuliniti positif, seseorang itu bukan sekadar perlu dilihat gagah, sebaliknya perlu saling melengkapi dengan pasangan termasuklah berkongsi beban melakukan tugasan di rumah.

Md Noh berkata, LPPKN juga mengetengahkan konsep perkongsian tanggungjawab antara pasangan memandangkan kebanyakan suami isteri kini mempunyai kerjaya masing-masing.

"LPPKN turut berperanan sebagai badan pendamai kepada pasangan yang berdepan masalah rumah tangga, termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pasangan yang ingin berpisah.

"Dalam kebanyakan kes yang dikendalikan LPPKN, masalah berlaku disebabkan ketiadaan komunikasi berpunca daripada fasa prakontemplasi,” katanya.

Md Noh bagaimanapun berkata, keadaan itu dapat diperbaiki apabila pasangan diberikan ruang untuk meluahkan perasaan dan emosi menerusi sesi kaunseling.

"Apabila kami buat mirroring, lelaki berasa malu atau ego untuk meluahkan perasaan kepada isteri. Jadi, kami berikan beberapa inventori psikometrik supaya mereka lebih memahami isteri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, LPPKN turut mendapati lelaki Melayu cenderung memendam masalah sendiri dan sukar berkongsi perasaan dengan pasangan ketika berdepan masalah rumah tangga.

"Sebenarnya di bilik kaunseling kami, ramai lelaki yang bergenang air mata namun tidak mahu menangis kerana perasaan malu tapi percayalah apabila kita benarkan air mata itu mengalir, kita akan dapat meluahkan perasaan yang terbuku di hati kita,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!