Jangan dwi-standard isu heret istana ke gelanggang kempen

KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sepatutnya menjadi medan untuk rakyat menilai rekod pentadbiran, rancangan pembangunan, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kemampuan calon menyelesaikan masalah setempat.
Namun begitu, mutakhir ini kempen kelihatan semakin dibayangi polemik berkaitan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang, Adat Perpatih dan pertikaian politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkembangan ini perlu ditangani dengan penuh berhati-hati. Institusi diraja dan adat bukan bahan kempen biasa yang boleh digunakan untuk mencetuskan ketakutan, membina persepsi pengkhianatan atau mempertikaikan kesetiaan politik pihak lawan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan pada 15 Julai telah mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu institusi diraja dan Perlembagaan Persekutuan.
Peringatan yang sama diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, menegaskan pada 17 Julai, pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat. Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Persoalannya, adakah semangat peringatan tersebut benar-benar dipatuhi oleh keseluruhan ekosistem kempen PH?
PH berhak membuat laporan polis sekiranya terdapat hantaran yang benar-benar menghina Yang di-Pertuan Besar. Penghinaan terhadap institusi diraja bukan perkara remeh dan sewajarnya disiasat berdasarkan undang-undang.
Namun begitu, terdapat perbezaan besar antara menyerahkan sesuatu dakwaan kepada pihak berkuasa dengan menjadikannya bahan mobilisasi politik. Apabila istilah seperti “penderhaka”, “pecat raja” atau dakwaan kononnya pihak tertentu mahu menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar diulang dalam kempen, sempadan antara mempertahankan institusi dan mengeksploitasi institusi menjadi semakin kabur.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali, misalnya, dilaporkan berpandangan bahawa tindakan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mungkin dilihat oleh sebahagian pengundi sebagai suatu bentuk “penderhakaan” dan berpotensi menjadi liabiliti kepada BN.
Namun begitu, kenyataan tersebut sendiri merujuk kepada persepsi, bukannya keputusan mahkamah, penemuan siasatan atau fakta yang telah diputuskan oleh pihak berautoriti.
Apabila istilah berat seperti “penderhakaan” digunakan berulang kali, ia boleh membentuk tanggapan bahawa kesetiaan seseorang kepada raja telah terbukti dipersoalkan sedangkan ini melibatkan pertikaian politik, perlembagaan dan pentadbiran yang jauh lebih rumit.
Penganalisis, pemimpin dan pempengaruh politik mempunyai tanggungjawab untuk tidak menukar tafsiran kepada hukuman awam.
Pertikaian yang melibatkan kerajaan negeri, Undang dan Yang di-Pertuan Besar perlu dibincangkan dengan membezakan secara jelas antara kedudukan institusi menurut undang-undang; tindakan individu yang boleh dipersoalkan; pertikaian politik antara parti; dan dakwaan yang masih belum dibuktikan.
Sekiranya PH benar-benar mahu isu 3R dihentikan, prinsip itu perlu digunakan terhadap semua pihak, termasuk penyokong, pempengaruh dan suara yang cenderung kepada PH.
Tidak memadai untuk menyeru kempen positif, tetapi pada masa yang sama membiarkan naratif yang menggambarkan lawan sebagai penderhaka atau ancaman kepada raja berkembang tanpa teguran. Institusi diraja tidak seharusnya dijadikan perisai untuk mempertahankan kerajaan atau senjata untuk menyerang pembangkang.
Pada masa yang sama, BN dan PN juga dilaporkan berusaha memastikan penyokong mereka tidak mengeluarkan penghinaan, fitnah atau kenyataan yang boleh mencemarkan institusi diraja dan adat.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, sendiri umpamanya dilaporkan telah mengingatkan jentera BN supaya tidak menjadikan isu adat sebagai bahan kempen kerana adat perlu dihormati sebagai institusi yang berdiri sendiri. Pendekatan inilah yang sepatutnya diikuti semua parti.
Rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui punca sebenar krisis melalui fakta dan kronologi yang tepat. Mereka juga berhak menilai sama ada pentadbiran terdahulu telah melaksanakan amanah dengan baik serta sama ada pihak yang mahu menggantikannya mempunyai tawaran lebih meyakinkan. Apa yang tidak diperlukan ialah pertandingan untuk mendakwa siapa yang paling setia atau paling tidak setia kepada raja.
Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk mana-mana parti politik mendakwa bahawa hanya pihak mereka yang memiliki monopoli terhadap kesetiaan kepada institusi diraja. Rekod setiap pemimpin dan parti mesti dinilai berdasarkan semua tindakan serta kenyataan, bukannya melalui label mudah seperti “anti-raja” atau “penderhaka”.
Justeru PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini perlu dimuktamadkan melalui pertandingan idea dan mandat peti undi, bukannya pertandingan mencipta ketakutan tentang siapa kononnya lebih setia atau lebih derhaka kepada raja.
Tegasnya, istana tidak seharusnya ditarik ke tengah gelanggang semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan kerajaan yang sedang tergugat mahupun kempen yang gagal menawarkan jawapan tuntas kepada persoalan rakyat.
*** Penulis ialah penganalisis politik tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

