Wanita lemas ketika menyelam di Pulau Tioman

Jing Ying (gambar kecil) ditemukan lemas ketika menyertai aktiviti selaman rekreasi (fundive) di kawasan perairan Kampung Salang, Pulau Tioman pada Ahad lalu. Foto hiasan
Jing Ying (gambar kecil) ditemukan lemas ketika menyertai aktiviti selaman rekreasi (fundive) di kawasan perairan Kampung Salang, Pulau Tioman pada Ahad lalu. Foto hiasan
A
A
A

ROMPIN - Seorang wanita lemas ketika menyertai aktiviti selaman rekreasi (fundive) di kawasan perairan Kampung Salang, Pulau Tioman di sini pada Ahad lalu selepas dipercayai terpisah daripada kumpulannya ketika berada pada kedalaman 17.6 meter.

Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kematian mangsa, Heng Jing Ying, 31, yang ditemukan terdampar di dasar berpasir, termasuk kemungkinan berlaku kecuaian atau masalah teknikal.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Siasatan awal mendapati mangsa menyertai program Aware Coral bersama rakan-rakannya yang dianjurkan sebuah pusat aktiviti selaman di Kampung Genting di sini pada 17 hingga 18 Julai lalu.

"Pada hari kejadian, mangsa bersama sembilan peserta lain diiringi dua instruktur termasuk penyelam utama menjalankan aktiviti fundive di kawasan Seafan, Batu Malang, Pulau Tulai.

"Difahamkan, sebelum aktiviti dijalankan, semua peserta diberikan taklimat keselamatan serta penerangan mengenai penggunaan peralatan selaman walaupun mereka memiliki lesen menyelam," katanya.

Sharif Shai berkata, ketika berada pada kedalaman 17.6 meter, mangsa dipercayai terpisah daripada kumpulannya sebelum instruktur melakukan pencarian di kawasan selaman.

"Selepas hampir 30 minit pencarian, mangsa ditemui terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari lokasi selaman.

"Mangsa yang dibawa naik ke bot segera diberikan bantuan pernafasan namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas lalu dikejarkan ke Klinik Kampung Tekek untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan keadaan gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang terlibat dalam aktiviti rekreasi air, selaman, sukan ekstrem atau aktiviti luar supaya sentiasa mematuhi prosedur keselamatan, menggunakan peralatan yang sesuai serta mendapatkan khidmat pengendali bertauliah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!