Pengusaha kedai runcit maut, treler terbabas hempap van

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Bomba
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengusaha kedai runcit maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori treler di Jalan Bukit Selambau - Jeniang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Hassan Salleh, 60, sedang menghantar bekalan barangan runcit ke Sik sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Penduduk kampung, Fazilah Abu Hassan, 61, berkata, dia terkejut apabila terdengar dentuman kuat sebelum memberanikan diri melihat apa yang berlaku di hadapan rumahnya.

"Ketika itu nampak tangan mangsa terkulai, saya panik tak tahu nak buat apa sebab tak ada orang, mujur selepas itu ada motosikal lalu untuk meminta bantuan," katanya.

Lori treler yang terbabas menghempap van dipandu mangsa. Foto tular
Lori treler yang terbabas menghempap van dipandu mangsa. Foto tular

Sementara itu, pembantu kedai mangsa, Nurul Alia Roslan, 22, berkata, majikannya keluar lebih awal bagi menghantar bekalan kepada pelanggan.

"Saya tiba di kedai kira-kira jam 8 pagi untuk membuka kedai. Arwah sudah bergerak kira-kira 10 minit lebih awal untuk hantar barang. Tak berapa lama lepas tu, saya nampak ambulans lalu, ada orang beritahu ada kemalangan treler dengan van putih.

"Saya mula rasa tak sedap hati dan cuba telefon arwah beberapa kali tetapi tidak dijawab. Selepas itu, saya dapat panggilan daripada isterinya memaklumkan beliau sudah meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lori treler terbabas dan terbalik sebelum terlanggar dua kenderaan lain.
Lori treler terbabas dan terbalik sebelum terlanggar dua kenderaan lain.

Menurut Nurul Alia, Allahyarham seorang majikan yang sangat dihormati dan sentiasa mengingatkan pekerjanya supaya bekerja dengan amanah.

"Arwah sempat pesan hari ini ambil gaji dan jangan lupa buat bayaran pada pembekal lain sekiranya masih ada yang belum dilunaskan," katanya.

Lori treler dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke kanan jalan.
Lori treler dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke kanan jalan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Juhari Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.05 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sik dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima, lori treler yang membawa kontena berisi kertas dipercayai terbabas sebelum menghempap van dipandu mangsa.

"Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta tidak sempat mengelak lalu terbabas.

"Pemandu van yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 9.35 pagi menggunakan peralatan khas, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). Pemandu treler dan kereta pula dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Keadaan treler yang membawa muatan berisi kertas selepas terlibat kemalangan.
Keadaan treler yang membawa muatan berisi kertas selepas terlibat kemalangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati, treler dari arah Jeniang ke Bukit Selambau hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke kanan jalan menyebabkannya terlanggar dua kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!