Syed Saddiq kongsi lima kejayaan sepanjang sesi Dewan Rakyat kali ini

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi beberapa kejayaan dicatatkan beliau sepanjang sidang Dewan Rakyat di Parlimen sesi kali ini.

Menerusi hantaran video di laman sosialnya, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu memaklumkan kehadiran 100 peratus di Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan majoriti 2-1, Syed Saddiq kekal bebas

Syed Saddiq tamatkan larian kesyukuran 170km, kutip dana lebih RM600,000

Syed Saddiq memaklumkan beliau hadir bagi semua sesi utama dan Mesyuarat Jawatankuasa Parlimen.

Kejayaan lain ialah peruntukan RM7 juta untuk Muar bagi pemberian laptop, foodbank dan pakaian iaitu baju Melayu serta kurung kepada rakyat di kawasan beliau.

Selain itu, dalam sesi sidang Dewan Rakyat kali ini juga beliau dibuktikan bersih selepas enam tahun berdepan kes mahkamah.

“Selepas enam tahun saya akhirnya dibuktikan bersih di mahkamah,” katanya.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun melabuhkan tirainya pada 16 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, sebanyak RM500,00 biasiswa Muar juga berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 20 pelajar disenarai pendek dan dua biasiswa pertama berjumlah RM61,400 telah disampaikan,” katanya.

Penutup kepada kejayaan beliau sepanjang sesi kali ialah Larian Kesyukuran Putrajaya - Muar berjaya memperoleh dana sebanyak RM650,595, sekali gus melepasi sasaran awal iaitu RM200,000.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Julai lalu memutuskan Syed Saddiq kekal dibebaskan atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Menerusi keputusan majoriti 2-1 itu, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat ahli politik berusia 34 tahun itu wajar dilepas dan dibebaskan.

Keputusan tersebut menoktahkan perjuangan undang-undang beliau yang berlarutan sejak lima tahun lalu.

Tahun lalu, tular di media sosial mengenai rekod kehadiran penuh Syed Saddiq di Parlimen yang mendapat pujian ramai di samping aktif dalam sukan triatlon dan maraton yang sering dikongsikan di laman sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!