Syed Saddiq tamatkan larian kesyukuran 170km, kutip dana lebih RM600,000

MUAR - Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abd Rahman hari ini berjaya menamatkan "Larian Kesyukuran” sejauh 170 kilometer (km) di Laman Maharani di sini, sekali gus melengkapkan misi amal yang bermula sejak 16 Julai lepas.
Ketibaan beliau pada 9.15 pagi disambut kira-kira 2,000 penduduk setempat yang menanti sejak awal pagi.
Syed Saddiq memulakan larian 17 km terakhir hari ini dari Simpang Sungai Rambai, Melaka, sebelum tiba di destinasi akhir dengan diiringi kumpulan "Muo Runner” melalui Jambatan Sultan Ismail.
Misi larian yang bermula dari pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya itu bertujuan mengumpul dana kebajikan bagi penduduk Parlimen Muar, merangkumi sumbangan bakul makanan serta peranti tablet bagi pelajar yang memerlukan.

Syed Saddiq memaklumkan misi larian empat hari itu berjaya mengumpul RM650,959.21 melebihi sasaran awal iaitu RM200,000, dan berjanji akan menyalurkan 100 peratus dana tersebut bagi membantu kebajikan penduduk Parlimen Muar.
"Saya amat terharu dengan sokongan luar biasa orang ramai, terutama pada 10 kilometer terakhir. Saya sangat menghargai setiap sumbangan yang diterima, termasuk 50 sen daripada seorang kanak-kanak," katanya ketika ditemui selepas larian di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Muar di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan sokongan yang diterima bukan sahaja datang daripada penduduk Muar, malah merangkumi kawasan sekitar termasuk dari Batu Pahat.
Semangat itu dikongsi oleh Aminah Abd Rahman, 64, dan anaknya, Syarifah Fatimah Syed Ali, 26, yang sanggup datang dari Batu Pahat bagi memberikan sokongan moral di lokasi.
"Bukan semua wakil rakyat sanggup melakukan ini. Kami mengikuti perkembangan larian ini setiap hari melalui media sosial dan terpanggil untuk memberi sokongan serta sumbangan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

