Pemandu positif dadah, polis temui katrij vape berisi cecair MDMA

Keadaan kereta Proton Preve yang dipandu lelaki positif dadah dalam kejadian di Jalan Persiaran Awana, Kajang pada Isnin
Keadaan kereta Proton Preve yang dipandu lelaki positif dadah dalam kejadian di Jalan Persiaran Awana, Kajang pada Isnin
A
A
A

KAJANG - Satu katrij rokok elektronik (vape) disyaki berisi cecair dadah jenis MDMA dijumpai dalam kereta Proton Preve yang dipandu lelaki hingga menyebabkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Persiaran Awana di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kereta Proton Preve dipandu lelaki tempatan berumur 41 itu telah hilang kawalan sebelum melanggar belakang Perodua Myvi.

"Pelanggaran kedua-dua kenderaan tersebut menyebabkan Perodua Myvi tertolak kehadapan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lagi kereta jenis Mazda CX-3.

"Proton Preve tersebut juga telah melanggar bahagian sisi kiri Mazda itu dan terbabas ke kiri jalan hingga melanggar sebatang pokok. Impak pelanggaran tersebut menyebabkan pokok tersebut tumbang menghempap tembok sebuah rumah berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kemalangan ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap pemandu Proton Preve terbabit menemui satu katrij mengandungi cecair disyaki dadah jenis MDMA.

"Pemandu yang positif dadah jenis methamphetamine itu didapati tiada lesen memandu dan kini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Kaedah 10 LN 166/59, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama," ujarnya.

Tegasnya, pengguna jalan raya diingatkan supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Usah memandu dalam pengaruh dadah serta alkohol," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!