MGB raih kontrak kedua ROSHN bernilai RM44.67 juta di Arab Saudi

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB) menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, MGB International For Industry (MGBI) memperoleh satu lagi kontrak secara terus daripada Kumpulan Syarikat ROSHN bagi kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) serta kerja-kerja kemasan untuk projek pembangunan Marafy Al Arous di Jeddah, Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan, MGB memaklumkan kontrak itu bernilai kira-kira SAR41.02 juta (RM44.67 juta) dan melibatkan kerja-kerja MEP serta kemasan bagi 75 unit vila di kawasan pembangunan Marafy Al Arous.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh 10 bulan meliputi kerja-kerja mobilisasi, pembangunan kejuruteraan, pembinaan, ujian dan pentauliahan serta penyerahan akhir.
MGB berkata, penganugerahan terbaharu itu menyusuli kontrak terdahulu yang diterima MGBI daripada ROSHN bagi kerja-kerja pembinaan dan kejuruteraan untuk 75 unit vila di bawah projek sama.
"Kontrak terdahulu bernilai kira-kira SAR32.98 juta (RM35.91 juta).
"Dengan kontrak baharu ini, jumlah keseluruhan nilai kontrak MGBI bagi Projek Marafy Al Arous 75 Vila meningkat kepada kira-kira SAR74 juta, bersamaan RM80.59 juta," menurut kenyataan itu.
Menurut MGB, perkembangan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan syarikat di Arab Saudi yang merupakan pasaran pembinaan terbesar di Timur Tengah.
Syarikat itu memaklumkan, sejak memulakan operasi di negara berkenaan pada 2023 menerusi penglibatan dalam pembuatan dan pembekalan produk Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang serta perkhidmatan pemasangan, MGB terus memperluaskan kehadirannya dalam sektor pembinaan.
Katanya, syarikat kini bersedia memperoleh projek pembinaan yang lebih besar selain meneroka peluang pembangunan hartanah di lokasi terpilih di negara itu.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, kontrak terbaharu itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha pengembangan syarikat di Arab Saudi.
Menurutnya, MGB memulakan operasi di negara berkenaan dengan memanfaatkan kepakaran dalam pembuatan, pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang IBS sebelum berkembang sebagai kontraktor utama.
"Kami merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Syarikat ROSHN atas keyakinan berterusan yang diberikan kepada MGBI.
"Penganugerahan ini menunjukkan keupayaan kami untuk bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai pembinaan dan menyertai skop kerja yang lebih luas dalam landskap pembangunan Arab Saudi yang berkembang pesat.
"Arab Saudi kekal sebagai pasaran utama dalam strategi pengembangan antarabangsa MGB dan kami komited untuk terus memperkukuhkan kehadiran di negara itu serta menyumbang kepada pembangunan komuniti kediaman berkualiti selaras dengan aspirasi Visi 2030 Arab Saudi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
