Kerajaan Selangor kekal stabil walaupun PH, BN berubah - Amirudin

KLANG - Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) dijangka kekal stabil meskipun hala tuju kerjasama antara parti itu dan Barisan Nasional (BN) bergantung kepada keputusan di peringkat pusat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pentadbiran kerajaan negeri masih mempunyai sokongan kukuh dengan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong kerajaan negeri.
Beliau berkata, kedudukan itu menunjukkan kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil dan mampu meneruskan pentadbiran seperti biasa.
"Keputusan itu bukan ditentukan PH Selangor sebaliknya bergantung di peringkat pusat.
"Sama ada PH bersama BN atau tidak, kerajaan negeri masih lagi utuh kerana kita mempunyai 33 ADUN yang menyokong kerajaan termasuk (ADUN Selat Klang), Datuk Abdul Rashid Asari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Dana Plus Hijrah Selangor di sini pada Selasa.
Hubungan PH dan BN menjadi perhatian selepas gabungan yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan tidak mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pada 15 Julai, BN mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRN Negeri Sembilan, manakala 11 kerusi lagi tidak diumumkan.
Ketika itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan baki 11 kerusi itu akan diumumkan oleh pihak lain yang sedang dalam rangka kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Teka-teki berhubung baki 11 kerusi DUN yang tidak diumumkan BN itu akhirnya terjawab apabila Perikatan Nasional (PN) mengumumkan calon bagi kesemua baki kerusi berkenaan untuk PRN Negeri Sembilan ke-16.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai hala tuju kerjasama kedua-dua parti di negeri lain termasuk di Selangor.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, hubungan kerjasama antara PH dan BN di peringkat negeri ketika ini masih berjalan seperti biasa.
"Fokus kerajaan negeri adalah memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Selangor terus dilaksanakan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

