Tiada petunjuk baharu, operasi SAR Rosnani diteruskan

KOTA BHARU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas yang hilang sejak 12 hari lalu masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu meskipun pencarian diteruskan di sungai Wakaf Stan di sini pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Johari Ahmad berkata, operasi hari kedua ini melibatkan pencarian dalam jarak 6.6 kilometer dari lokasi motosikal Rosnani Mahmood, 62, ditemukan di kedai makan lama berhampiran tebing sungai itu.
“Kami perluas lokasi pencarian dari enam kilometer ke 6.6 kilometer hari ini dan setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan.
“Operasi hari ini menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan menelusuri semula laluan yang sama,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Rosnani disedari hilang sejak 10 Julai lalu apabila tidak pulang ke rumah sebelum motosikal miliknya ditemuikan di lokasi yang terletak dua kilometer dari ruamh warga emas terbabit, dua hari selepas itu.

Ahli keluarganya memaklumkan wanita yang tidak berkahwin itu mengadu mengalami gangguan misteri yang kerap sejak sebulan lalu seperti terdengar individu berjalan di dapur rumah dan pasir ditabur ke atap, sebelum dia hilang.
Beliau berkata, pasukan penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) masih belum digunakan kerana operasi ketika ini lebih tertumpu kepada pencarian di permukaan.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman operasi terdahulu, sekiranya mangsa berada di dalam air dan tidak tersangkut pada sebarang halangan, kebiasaannya mayat akan timbul dalam tempoh beberapa hari.
“Namun keadaan itu bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kewujudan halangan di dasar sungai atau keadaan lain yang boleh menyebabkan mangsa tidak timbul,” katanya.
Johari berkata, operasi bermula pada jam 9.30 pagi dan dijangka berakhir sekitar 7 malam.
“Operasi melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta anggota bomba sukarela dengan menggunakan empat bot,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

