Institusi pondok perlu terus relevan lahir generasi berilmu, kuasai teknologi - PM

Anwar bersalaman bersama para pelajar ketika hadir pada Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak di Maahad Al -Ummah, Chemor, Ipoh hari ini. Foto: Bernama
Anwar bersalaman bersama para pelajar ketika hadir pada Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak di Maahad Al -Ummah, Chemor, Ipoh hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

IPOH – Institusi pendidikan Islam termasuk sekolah pondok, maahad dan sekolah agama rakyat (SAR) perlu relevan serta mampu melahirkan generasi yang menguasai ilmu agama dan teknologi semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan itu pelbagai usaha dilakukan menerusi peningkatan bantuan kewangan, transformasi digital dan penambahbaikan kemudahan institusi pendidikan Islam di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan juga akan memastikan pelajar di sekolah pondok dan maahad tidak ketinggalan dalam penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

"Kita akan tingkatkan dan martabatkan sekolah agama serta sekolah pondok di seluruh negara. Kita teruskan inisiatif transformasi digital institusi pendidikan Islam supaya beberapa teknologi baharu dapat diperkenalkan dan anak-anak lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

"Saya bangga kerana institusi pondok hari ini bukan sahaja mengukuhkan tradisi Islam dan pengajian kitab, malah bersedia meneroka disiplin baharu seperti komputer dan AI," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor, di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.

Anwar berkata, institusi pondok dan sekolah agama mempunyai peranan besar dalam mempertahankan akidah, ilmu serta jati diri umat Islam sejak zaman penjajahan ketika sistem pendidikan dan pentadbiran negara dipengaruhi kuasa Barat.

Menurutnya, selepas negara mencapai kemerdekaan, usaha memperkukuh bahasa, budaya dan sistem pendidikan Islam perlu terus diperkasakan tanpa mengabaikan kemajuan ekonomi serta teknologi.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia bukan sekadar mahu menjadi negara maju dalam AI, teknologi maklumat atau transisi tenaga, tetapi kita mahu menjadi sebuah Negara Madani yang mengekalkan nilai, akhlak dan jati diri.

"Sebab itu institusi pondok dan maahad mesti terus diperkasakan kerana ia menjadi benteng mempertahankan ilmu, akidah dan akhlak umat," katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM15 juta kepada sekolah pondok dan sekolah agama di Perak.

Katanya, bantuan itu disalurkan kepada institusi yang masih memerlukan sokongan bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran.

Dalam masa sama, beliau turut meluluskan peruntukan khas RM300,000 kepada Maahad Al-Ummah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!