Berang adik perempuan diganggu, dua individu pukul lelaki hingga parah

Mohd Rosdi
Mohd Rosdi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Berang selepas mendakwa mangsa mengganggu adik perempuan, dua individu dipercayai memukul seorang lelaki sehingga cedera parah dalam kejadian pergaduhan di Flat Sri Pulau Pinang Cheras di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan itu pada jam 3.33 pagi Sabtu.

"Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa telah mengganggu adik perempuannya.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian hidung, mata dan kepala sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Rosdi berkata, bertindak hasil maklumat diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

"Kedua-dua suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan pada jam 5.22 pagi pada hari sama bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek telah direman dan kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!