Berang perkahwinan musnah, lelaki pukul bapa hingga mati

GANDHINAGAR - Seorang warga emas berusia 70 tahun maut dipukul anak lelakinya selepas dipersalahkan atas keruntuhan rumah tangganya.
Pelaku dikenali sebagai Babubhai Pargi di daerah Dahod, Gujarat di India menyerang bapanya selepas berlaku pertengkaran mengenai bekas isterinya yang telah meninggalkan lelaki itu kira-kira lima tahun lalu.
Menurut laporan awal pihak berkuasa, perpisahan itu berlaku kerana Pargi yang mengalami masalah ketagihan alkohol yang teruk dan sering mengasarinya ketika dalam keadaan mabuk.
"Suspek akan memukul ibu bapanya dengan teruk dan menyalahkan mereka kerana ditinggalkan isterinya," jelas laporan itu lagi.
Dalam insiden pergaduhan mulut terbaharu, Pargi bertindak mengambil sebatang kayu dan memukul kepala bapanya hingga menyebabkan mangsa cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis, manakala suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya ditahan tidak lama kemudian.
Siasatan lanjut sedang dijalankan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

