Remaja cedera parah dipukul sekumpulan individu

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki cedera parah selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu di sebuah residensi di Cheras di sini pada 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesan penularan rakaman video kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp.
"Kita telah menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 12.45 tengah malam, 5 Julai lalu, mengenai kejadian itu.
"Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan empat remaja lelaki tempatan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang memaparkan kejadian tersebut.
Rakaman itu dipercayai dimuat naik oleh ibu mangsa yang mendakwa anaknya dipukul oleh empat individu.
Akibat kejadian berkenaan, mangsa dipercayai mengalami keretakan tengkorak serta pendarahan di dalam kepala dan telinga kanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
