Perunding bius ditipu 'Sarjan Azlan'

Macau Scam menipu mangsa melalui telefon. Gambar kecil: Mohd Wazir
Macau Scam menipu mangsa melalui telefon. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang perunding bius sebuah hospital di sini kerugian RM63,465 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 60 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai Pegawai Pengurusan Siasatan Khas Cawangan A, SPRM Putrajaya ketika berada di rumahnya, jam 2 petang.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa akan ditahan polis atas dakwaan tidak membayar cukai pendapatan atas sebuah syarikat yang diwujudkan menggunakan nama pengadu pada 16 Mei 2017 di Perak.

"Mangsa menafikan perkara itu dan suspek memaklumkan kemungkinan ada individu lain yang menggunakan maklumat mangsa untuk menubuhkan syarikat tanpa pengetahuannya.

"Selepas itu, suspek menawarkan untuk menyelesaikan masalah ini secara dalam talian dengan menyambungkan panggilan itu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, selepas panggilan itu disambungkan, mangsa bercakap dengan seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Sarjan Azlan Musa.

"Sarjan Azlan mendakwa masalah berkenaan boleh diselesaikan dengan meminta mangsa membuka laman web Bank Negara Malaysia yang mana pautan itu diberikan oleh suspek melalui WhatsApp (www.bank-negaramy.com).

"Mangsa mengikut dan memasukkan maklumat dua akaun banknya ke dalam laman web yang diberikan. Selepas itu, pengadu mendapati baki dalam dua akaun banknya berkurangan RM63,465," katanya.

Artikel Berkaitan: