Pemburu musang rempuh kenderaan PGA, dicekup bersama senapang angin


TUMPAT – Seorang lelaki yang dipercayai pemburu musang bertindak merempuh kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum diberkas bersama sepucuk senapang angin buatan sendiri di Kampung Parit Bendang Morak, Jalan Palekbang di sini pada Selasa.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 pagi dalam Op Taring Wawasan.
Menurut beliau, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menjalankan rondaan mengesan sebuah Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan tersebut.
"Suspek yang menyedari kehadiran anggota bertindak memecut untuk melarikan diri sehingga merempuh bahagian hadapan kenderaan pasukan.
"Bagaimanapun, kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke kawasan sawah dan suspek berjaya ditahan," katanya kepada pemberita.
Ujar beliau, pemeriksaan lanjut menemui sepucuk senapang angin buatan sendiri di tempat duduk hadapan kenderaan serta botol mengandungi 61 biji bebola besi yang dipercayai digunakan sebagai peluru.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki senapang angin itu sejak tiga tahun lalu dan menggunakannya untuk memburu musang sebelum menjual hasil buruan di sekitar Tumpat pada harga sekitar RM60 sekilogram.
"Suspek turut memaklumkan senapang angin tersebut dihasilkan oleh rakannya yang kini sedang menjalani hukuman penjara," katanya.
Ahmad Radzi memberitahu, polis turut merampas sebuah Perodua Viva, senapang angin dan 61 biji bebola besi dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM12,061.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

