Calon termuda PH mahu buktikan kemampuan di Chembong

Danish Nazran (kiri) turun padang bertemu masyarakat setempat sempena kempen PRN di DUN Chembong, pagi Selasa.
Danish Nazran (kiri) turun padang bertemu masyarakat setempat sempena kempen PRN di DUN Chembong, pagi Selasa.
A
A
A

REMBAU – Calon termuda Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad mengakui berdepan perasaan bercampur baur apabila diberi kepercayaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Aktivis kemanusiaan berusia 27 tahun itu yang masih bujang berkata, walaupun berasa gementar, beliau tetap bersemangat untuk membawa cabaran parti dan memberikan saingan terbaik di kerusi berkenaan.

Menurutnya, sebagai calon muda, pendekatan turun padang dan bertemu sendiri dengan pengundi menjadi keutamaan bagi memperkenalkan dirinya kepada masyarakat setempat.

"Saya ada rasa gementar dan berani pada masa yang sama, tetapi apabila diberikan mandat oleh parti, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberikan saingan dalam PRN kali ini.

"Sebagai calon muda, saya perlu mendekati semua lapisan masyarakat, daripada golongan belia sehinggalah warga emas, tanpa mengira kaum. Saya sedar masih ramai yang belum mengenali saya, jadi penting untuk saya turun bertemu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam kempen PRN di Chembong, di sini, pagi Selasa.

Graduan Sarjana Muda Sains Sosial (Kajian Politik dan Pemerintahan) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, antara perkara yang mahu diberikan perhatian ialah pembangunan kawasan secara lebih tersusun dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Kalau kita bercakap soal pembangunan, kita perlu realistik. Saya mahu berbincang dengan semua pihak supaya kita tahu apa yang boleh dibangunkan di Chembong.

"Kawasan ini mempunyai sektor perindustrian yang boleh diperkasakan lagi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Danish bukanlah nama asing dalam bidang kemanusiaan apabila bertugas sebagai Eksekutif Hal Ehwal Kemanusiaan dan Pembangunan Semula di Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Beliau turut menyertai misi kemanusiaan antarabangsa Global Sumud Flotilla 2.0 yang bertujuan membawa bantuan dan menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza.

Mengimbas pengalaman itu, Danish berkata, kapal yang dinaiki mereka dipintas sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel, dan beliau bersama peserta lain ditahan sebelum diarahkan keluar dari negara itu.

"Pengalaman itu benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental saya. Semua proses termasuk tribunal dilakukan ketika kami berada dalam tahanan sebelum diarahkan meninggalkan negara itu.

"Saya mengambil pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran yang membentuk daya tahan diri, dan semangat itu saya bawa dalam medan politik hari ini," katanya.

Beliau percaya pengalaman menguruskan misi bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa dapat dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada masyarakat di Chembong.

Dalam pada itu, Danish menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya keluar mengundi pada 1 Ogos bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya diamanahkan oleh parti untuk membawa aspirasi rakyat. Saya akan memberikan yang terbaik dan bekerja bersungguh-sungguh jika diberi kepercayaan," katanya.

Danish Nazran akan berdepan penyandang DUN Chembong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris dalam pertandingan satu lawan satu.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Zaifulbahri berjaya mempertahankan kerusi DUN Chembong selepas memperoleh 11,261 undi dengan majoriti 4,335.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!