Kes tikam di sekolah: Polis siasat kemungkinan wujud komuniti hasut suspek - Polis

Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar pada Selasa.
Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menyiasat elemen sekiranya wujud komuniti ataupun kumpulan tertentu yang dipercayai menjadi penyebab seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bertindak menikam pelajar sebuah sekolah di Banting, 6 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, susulan pertuduhan terhadap suspek, pihak polis telah melaksanakan beberapa siasatan sebelum menahan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, namun setelah ditangkap dan dijalankan siasatan, didapati pelajar tersebut tidak ada penglibatan secara langsung dengan kes terbabit sebelum dilepaskan.

"Siasatan ini untuk mengetahui sekiranya wujud komuniti-komuniti atau pun kumpulan-kumpulan yang menjadi penyebab kepada kenapa suspek bertindak sedemikian rupa...

"Dia (tangkapan baru) ini bukan fasilitator, mungkin rakan-rakan yang berbincang dalam satu grup WhatsApp atau pun yang boleh bertukar-tukar pendapat, cadangan sehingga boleh mendorong suspek untuk bertindak sedemikian rupa," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.

Difahamkan, remaja 14 tahun itu bukan dari sekolah sama dengan mangsa, bagaimanapun tidak didedahkan lokasi dan sekolah pelajar itu di atas faktor bawah umur.

Ketika ditanya berhubung tular gambar nota-nota di media sosial yang dikaitkan dengan insiden tikam itu, Shazeli memaklumkan, siasatan dalaman telah dilaksanakan pihaknya.

"Kita siasat bagaimana nota-nota yang mengandungi senarai-senarai individu boleh berada di media sosial.

"Kerana itu ia sebahagian daripada ekshibit kes, apabila berada dalam sosial media sudah tentu pihak polis akan menjalankan siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu keadaan mangsa yang cedera dalam kes tikaman kini semakin baik.

"Alhamdulillah, mangsa sedang menjalani proses pemulihan yang semakin baik dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lepas," ujarnya.

Dalam kejadian terbabit, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan selepas diserang suspek di sebuah sekolah di Banting kira-kira jam 9.30 pagi.

Mangsa berusia 15 tahun kemudian telah dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Suspek yang juga berusia 15 tahun dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum kejadian berlaku.

Difahamkan, suspek yang tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan kemudian telah ditahan sebelum direman empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pada 10 Julai, Mahkamah Majistret Telok Datok memerintahkan suspek dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk penilaian psikiatri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!