Asing pelajar berisiko, elak tragedi di sekolah - Kamal Affandi

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran menyediakan pilihan pembelajaran dari rumah kepada pelajar yang dikenal pasti mempunyai gangguan kesihatan mental berisiko bagi mengelakkan insiden keganasan seperti kes tikaman di sekolah terus berulang.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, pendekatan itu lebih berkesan berbanding hanya memperketatkan kawalan keselamatan di sekolah kerana punca sebenar terletak pada pengurusan pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental.
"KPM perlu lebih terbuka mendengar cadangan dan pandangan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan," katanya ketika diminta mengulas insiden tikaman membabitkan pelajar berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Banting, 6 Julai lalu.
Terdahulu, Kamal Affandi diundang sebagai panel dalam segmen banteras jenayah 33 di Majlis Hi-Tea Hari Pesara Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) 2026 di Dewan Bunga Tanjung, Kelab Shah Alam di sini pada Ahad.
Beliau menjelaskan, ibu bapa atau penjaga perlu diberi pilihan untuk membolehkan anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian atau hibrid sekiranya keadaan mental mereka tidak mengizinkan untuk berada di sekolah.
"Kita sudah ada teknologi dan pernah melaksanakan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), jadi apabila ibu bapa melihat anak mereka menunjukkan perubahan tingkah laku atau tidak mematuhi rawatan, mereka sepatutnya mempunyai pilihan untuk membolehkan anak belajar dari rumah.
"Kenapa kita mahu membebankan seluruh komuniti sekolah yang mempunyai ratusan pelajar dan guru dengan isu dibawa oleh seorang individu, sedangkan kita boleh mengasingkan risiko itu terlebih dahulu," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Kamal Affandi memberitahu, perbincangan mengenai pagar sekolah, pengawal keselamatan atau bagaimana senjata dibawa masuk tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya punca utama terus diabaikan.
"Kalau bukan pisau, pelaku boleh menggunakan objek lain seperti cermin tingkap sebagai senjata, jadi jangan terlalu fokus kepada senjata, sebaliknya kembali kepada isu asal iaitu pengurusan masalah gangguan kesihatan mental pelajar.
"Kalau kita masih bercakap mengenai kawalan keselamatan sekolah semata-mata, saya percaya 20 tahun lagi kita masih akan membincangkan isu sama," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, ibu bapa disaran memantau aktiviti pembelian dalam talian anak-anak mereka bagi mengelakkan barangan berbahaya seperti senjata mudah diperoleh tanpa disedari.
Jelas beliau, akses internet dan platform e-dagang membolehkan kanak-kanak serta remaja membeli pelbagai barangan termasuk senjata berbahaya.
"Kebanyakan ibu bapa hanya melihat apa yang hilang dalam bilik anak sedangkan mereka tidak melihat apa yang bertambah," katanya.
Mengulas cadangan supaya pembelian senjata secara dalam talian diperketatkan, Kamal Affandi berkata, isu utama bukan semata-mata saluran pembelian, sebaliknya tahap pemantauan terhadap anak di rumah.
"Kalau bukan beli secara dalam talian, masih ada pelbagai cara untuk mendapatkan atau menggunakan objek lain sebagai senjata," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

