Malaysia anjur Persidangan Teknologi Bateri ASEAN Ke-4

MALAYSIA bakal menjadi tuan rumah Persidangan Teknologi Bateri ASEAN Ke-4 (ABTC 2026) dari 19 hingga 21 Ogos 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang, sekali gus meletakkan negara ini sebagai tumpuan utama dalam perbincangan serantau mengenai pembangunan industri bateri ASEAN.
Dianjurkan oleh NanoMalaysia Berhad (NMB), ABTC 2026 akan berlangsung bertemakan 'Mengindustrikan Teknologi Bateri: Memperkukuh Rantaian Nilai Bateri ASEAN untuk Daya Saing Global'.
Persidangan tersebut diadakan ketika permintaan terhadap mobiliti elektrik, penyimpanan tenaga boleh baharu dan teknologi berasaskan bateri terus berkembang di seluruh ASEAN serta pasaran global, sekali gus membuka peluang baharu kepada rantau ini untuk memperkukuh peranannya dalam ekonomi bateri dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NMB, Prof (Adj) Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, peranan Malaysia sebagai tuan rumah amat signifikan memandangkan negara ini terus mempergiat usaha ke arah peralihan tenaga bersih, pembuatan berteknologi tinggi serta inovasi industri.
Menurutnya, ABTC 2026 akan menyediakan platform serantau untuk membincangkan bagaimana ASEAN boleh beralih daripada fasa penggunaan teknologi bateri dan pembangunan teknologi kepada pengembangan industri berskala besar, kesediaan pelaburan serta pengkomersialan.
"Kami berbesar hati menjadi tuan rumah ABTC 2026 pada titik penting dalam perjalanan industri bateri ASEAN. Rantau ini mempunyai potensi besar dalam bidang penyelidikan, pembuatan, mobiliti elektrik, penyimpanan tenaga dan ekonomi kitaran.
"Namun, usaha menterjemahkan potensi ini kepada keupayaan industri memerlukan penyelarasan lebih rapat antara kerajaan, pemain industri, penyelidik dan pelabur.
"Melalui ABTC 2026, NMB berbangga mengalu-alukan kehadiran pemegang taruh serantau dan antarabangsa ke Malaysia bagi bersama-sama memperkukuh industri bateri ASEAN serta menyokong daya saing jangka panjangnya," katanya dalam kenyataan.
Sepanjang tiga hari berlangsung, para peserta akan menyertai perbincangan peringkat tinggi, sesi teknikal mendalam serta rangkaian industri yang memberi fokus kepada tiga bidang utama iaitu penghasilan bersama dan keselamatan bateri bagi penggunaan kompetitif di ASEAN, kupasan mendalam pembuatan bateri, memacu integrasi aplikasi dan pemerkasaan pasaran bateri ASEAN.
Sesi-sesi tersebut akan membincangkan keutamaan utama termasuk landskap industri bateri ASEAN, keselamatan bateri, dasar dan pembangunan pasaran, peningkatan kapasiti pembuatan, kitar semula serta ekonomi kitaran dan teknologi bateri baharu.
ABTC 2026 turut menampilkan perkongsian pandangan daripada pakar antarabangsa yang diiktiraf, termasuk Profesor Ying Shirley Meng dari University of Chicago dan Argonne National Laboratory serta Profesor Khalil Amine, Argonne Distinguished Fellow dan Pengarah Advanced Lithium Battery Technology Programme.
Pemimpin industri serantau daripada organisasi seperti SEDA, MARii, Pertamina, A*STAR dan Electric Vehicle Association of the Philippines (EVAP), bersama pemain industri utama lain, turut dijangka berkongsi pandangan mengenai peluang serta cabaran yang membentuk hala tuju industri bateri ASEAN.
ABTC 2026 turut menyaksikan pertukaran beberapa kerjasama strategik dan perjanjian yang memperkukuh komitmen Malaysia dalam memajukan ekosistem bateri serantau.
Antara kerjasama yang akan diumumkan termasuk kolaborasi antara NanoMalaysia Berhad (NMB) dan The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) berkaitan pembangunan penyimpanan tenaga dan pemindahan teknologi; Perjanjian Pembekalan antara GigaFactory Malaysia Sdn Bhd (GMSB) dan Milan Utama bagi pembangunan prototaip Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Kompak (BESS); kerjasama strategik antara Infineon Technologies dan Ampace; serta kerjasama antara Green Tenaga dan Go Rental Singapore.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif International Battery Centre (IBC), Ts Dr Nurul Akmaliah Dzulkurnain, berkata, ABTC telah menjadi platform penting kerana ia membolehkan negara-negara ASEAN melihat industri bateri sebagai peluang serantau yang dikongsi bersama.
"Setiap pasaran mempunyai kekuatan tersendiri dari segi dasar, penyelidikan, pembuatan, keselamatan, pembiayaan dan penggunaan teknologi.
"Edisi 2026 di Malaysia akan membantu memperkukuh hubungan ini serta mengenal pasti bagaimana rantau ini boleh bekerjasama dengan lebih berkesan bagi membangunkan industri bateri yang lebih kukuh dan berdaya saing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
