Cerai taklik Argentina kalah, pasangan perlu segera rujuk Mahkamah Syariah

 Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan yang dikaitkan dengan lafaz cerai taklik sekiranya berlaku keputusan final Piala Dunia 2026 hendaklah segera merujuk perkara tersebut kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan itu bagi mendapatkan pengesahan dan keputusan daripada pihak yang berautoriti.

Menurutnya, lafaz seorang suami yang menyatakan, "Kalau Argentina kalah, aku ceraikan isteri aku dengan talak tiga," merupakan talak yang digantungkan pada sesuatu syarat.

"Menurut kebanyakan ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali, apabila syarat tersebut benar-benar berlaku, maka talak yang disebutkan itu jatuh.

"Keyakinan suami bahawa pasukan pilihannya akan menang tidak menggugurkan kesan lafaz tersebut apabila syarat yang dinyatakannya benar-benar berlaku.

"Begitu juga, suasana gurauan atau taruhan bersama rakan-rakan tidak menjadikan lafaz talak itu sebagai suatu perkara yang boleh dipandang ringan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang individu menerusi aplikasi Al-Inarah mengenai hukum lafaz talak yang diucapkan dalam suasana bergurau dan sebagai taruhan bersama rakan-rakan.

Zulkifli berkata, pada masa yang sama, masyarakat diingatkan supaya menjaga lidah dan tidak sesekali menjadikan persoalan nikah, talak dan rujuk sebagai bahan gurauan, taruhan atau penguat kepada sesuatu perkara.

"Ini kerana implikasinya amat berat terhadap kehidupan rumah tangga.

Artikel Berkaitan:

"Semoga ALLAH SWT sentiasa menunjukkan kepada kita jalan kebaikan dan kebenaran dalam menjunjung serta mengikuti ajaran Islam yang mulia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!