Ubah suai tangki seleweng diesel

Cubaan seorang lelaki menyeleweng diesel gagal apabila diserbu di stesen minyak di Beaufort.
Cubaan seorang lelaki menyeleweng diesel gagal apabila diserbu di stesen minyak di Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Tindakan seorang lelaki mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak membawa kepada penahanannya selepas disyaki cuba menyeleweng kira-kira 200 liter bahan api itu dalam kejadian di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 4.0.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, tangkapan dan rampasan dibuat dalam serbuan mengejut terhadap sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero di kawasan stesen minyak berkenaan.

"Serbuan dijalankan hasil maklumat dan pemerhatian anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan berkenaan sedang mengisi diesel di pam stesen tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan tangki tambahan yang dipercayai mengandungi kira-kira 200 liter minyak diesel," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pihak KPDN menyita kenderaan, diesel serta dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

"Pemandu kenderaan juga telah dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis.

"Nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan, manakala dua laporan polis telah dibuat berhubung kes ini," katanya.

Julie berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pegawai penyiasat akan dilantik bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyeleweng 200 liter diesel di stesen minyak Beaufort.
  • Lelaki itu ditahan oleh KPDN dalam Ops Tiris 4.0 sekitar jam 6 petang.
  • Kenderaan Mitsubishi Pajero yang diubah suai dengan tangki tambahan diserbu dan dirampas.
  • KPDN menyita kenderaan, diesel serta dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan pemandu dan stesen minyak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!