PH tak punya hak untuk berasa tertipu dengan UMNO, BN - Fathi Aris

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai hak untuk berasa tertipu dengan UMNO, Barisan Nasional (BN) atau Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan kerjasama parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pemerhati politik dan bekas editor portal, Fathi Aris Omar mendakwa, PH salah membaca asas kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.
Menurutnya, UMNO pada ketika itu bersetuju memberi sokongan kepada PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan selepas tiada gabungan memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
"Patutnya PH bersyukur dengan sokongan BN itu. Hakikat UMNO kini lebih selesa dengan Pas dan PN tidak boleh disalahkan pada Ahmad Zahid atau Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Silapnya pada PH sendiri yang gagal selami sepak terajang politik UMNO. Lihat misalnya gelagat parti ini ketika bersama Bersatu dan Pas antara 2020 hingga 2022," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.
Beliau berkata sdemikian sebagai mengulas gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan gabungan parti itu secara terbuka menjalinkan kerjasama dengan PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
AMH berkata, tindakan BN itu membuktikan parti berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan dan kedudukan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Fathi mengingatkan pasukan dipimpin Ahmad Zahid sebelum ini pernah memberi tekanan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk mendesak supaya PRU15 disegerakan.
"Jadi apakah PH tidak ambil iktibar daripada sepak terajang UMNO dan Zahid ini? Saya tercengang membaca keluhan Mohamad Sabu di Facebook dan kini Angkatah Muda PH pula," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Fathi berpandangan tindakan BN bekerjasama dengan PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan bukan sesuatu yang pelik memandangkan pilihan raya tersebut berlangsung dalam penggal baharu.
Katanya, semua pilihan raya kecil (PRK) serta PRN enam negeri sebelum ini masih berlangsung dalam penggal PRU15, manakala PRN Johor dan Negeri Sembilan adalah bagi penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16.
"Jadi UMNO berhak mencari regu baharu seperti Pas dan Wawasan. Sebenarnya keputusan tidak pelik. BN bertembung dengan PN dan PH dalam PRN Melaka hujung 2021 dan Johor awal 2022. Begitu juga PRU 2022, BN dan PN tidak sehaluan," jelasnya.
Justeru, beliau berpandangan, gesaan AMH supaya semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan daripada Kabinet adalah tidak wajar.
"Yang ini saya tidak sejalan. Malah saya rasa sedikit terlajak untuk mendesak begitu," katanya.
Sebagai perbandingan, beliau berkata, parti-parti yang berada dalam kerajaan turut bertembung sesama sendiri pada PRN Sabah sebelum ini, namun keadaan itu tidak mencetuskan desakan supaya menteri atau timbalan menteri daripada UMNO meletakkan jawatan.
Menurut Fathi, PH juga tidak seharusnya melupakan usaha Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mewujudkan kestabilan politik selepas episod ketidaktentuan antara tahun 2020 hingga 2022.
Beliau berkata, kestabilan tersebut membolehkan kerajaan menarik pelaburan, memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan nilai ringgit.
"Apakah dengan 'halau' UMNO dari Kabinet, kita akan berjaya beri kestabilan pada PMX dan Kerajaan Madani? Tentunya tidak begitu di mata warga tempatan dan juga diplomat luar negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

