HAS raih pengiktirafan Airbus, 18 juruterbang capai pencapaian jam penerbangan H175

SERAMAI 18 juruterbang HAS International Sdn Bhd (HAS) menerima pengiktirafan daripada Airbus Helicopters selepas mencapai pencapaian 500, 1,000 dan 1,500 jam penerbangan menggunakan helikopter Airbus H175, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat itu dalam mengendalikan operasi luar pesisir berstandard tinggi.
Pengiktirafan itu disampaikan sempena Minggu Keselamatan HAS 2026 yang berlangsung di Miri Helibase, Sarawak dari 14 hingga 17 Julai lalu.
Pencapaian berkenaan direkodkan dalam tempoh lebih tiga tahun sejak HAS memulakan operasi Airbus H175 pada 2023 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan kru luar pesisir dan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) kepada beberapa syarikat tenaga antarabangsa yang beroperasi di perairan Sarawak.
Antara pelanggan syarikat ialah PETRONAS Carigali, Shell Malaysia, TotalEnergies, Mubadala Energy, ENEOS, PTTEP dan SK Earthon.
Pengarah Urusan HAS International Sdn Bhd, Hasery Bakar berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar mencerminkan pengalaman penerbangan individu, malah membuktikan keupayaan keseluruhan sistem operasi yang dibangunkan syarikat dalam mengendalikan salah satu persekitaran minyak dan gas luar pesisir paling mencabar di negara ini.
Menurutnya, operasi harian syarikat menuntut tahap disiplin yang tinggi kerana perlu memenuhi keperluan keselamatan serta piawaian operasi pelanggan yang terdiri daripada syarikat tenaga bertaraf dunia.
“Setiap hari, pasukan kami beroperasi di salah satu kawasan minyak dan gas paling sibuk di Malaysia. Untuk memberikan perkhidmatan secara konsisten dalam persekitaran ini memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, latihan yang komprehensif, penyelenggaraan yang berdisiplin serta budaya keselamatan yang tidak boleh dikompromi.
“Pengiktirafan daripada Airbus ini turut mencerminkan sumbangan seluruh warga kerja termasuk jurutera, juruteknik, pasukan operasi, keselamatan dan sokongan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan syarikat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, HAS akan terus memperkukuh pembangunan modal insan serta menyokong aspirasi Sarawak untuk membangunkan ekosistem aeroangkasa yang berdaya saing di peringkat global.
Sejak menjadi pengendali pertama Airbus H175 di Malaysia pada 2023, HAS telah membangunkan antara komuniti juruterbang H175 paling berpengalaman di rantau ini, selain terus melabur dalam pembangunan profesional juruterbang helikopter luar pesisir.

Sementara itu, Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan tahap profesionalisme serta disiplin operasi yang tinggi dalam kalangan juruterbang HAS.
“Airbus berbangga mengiktiraf pencapaian para juruterbang HAS yang berjaya mencapai tahap penting jam penerbangan H175.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen tinggi terhadap keselamatan dan kecemerlangan operasi dalam menyokong misi helikopter luar pesisir. Kami berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Minggu Keselamatan HAS 2026 yang membawa tema Respond Right, Learn Always menghimpunkan kakitangan syarikat, pelanggan, pihak berkuasa kawal selia serta pemain industri bagi memperkukuh budaya keselamatan, pembelajaran berterusan dan perkongsian amalan terbaik dalam sektor penerbangan helikopter luar pesisir.
Hasery menegaskan keselamatan akan terus menjadi teras utama operasi syarikat dalam memastikan setiap misi dilaksanakan mengikut piawaian tertinggi.
“Komitmen terhadap keselamatan memberi keyakinan kepada pelanggan untuk terus mempercayakan setiap misi kepada HAS,” katanya.
Trivia
• 8 juruterbang HAS menerima pengiktirafan Airbus ataspencapaian 500, 1,000 dan 1,500 jam terbang menggunakanarmada H175.
• Pengiktirafan disampaikan sempena HAS Safety Week 2026 di Miri Helibase.
• Pencapaian ini mencerminkan perkembangan pesat salah satu komuniti juruterbang H175 paling berpengalaman di rantau ini, hanya dalam tempoh tiga tahun operasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
