Pilihan raya: Siapa sebenarnya memilih?

Kuasa memilih berada di tangan rakyat, namun, semakin lama memerhati politik negara, semakin terasa pilihan itu sebenarnya banyak dibentuk naratif disusun pemain-pemain politik. - Gambar hiasan
Kuasa memilih berada di tangan rakyat, namun, semakin lama memerhati politik negara, semakin terasa pilihan itu sebenarnya banyak dibentuk naratif disusun pemain-pemain politik. - Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan selalu percaya kuasa memilih berada di tangan rakyat. Namun, semakin lama memerhati politik negara, semakin terasa pilihan itu sebenarnya banyak dibentuk naratif disusun pemain-pemain politik.

Sebelum ini rakyat diberitahu menukar kerajaan adalah tanggungjawab menyelamatkan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa. Maka lahirlah gelombang membawa Pakatan Harapan ke tampuk pentadbiran.

Dalam masa sama, sebahagian lagi rakyat pula diyakinkan penyatuan orang Melayu adalah agenda paling utama. Maka Perikatan Nasional pilihan bagi mereka yang melihat isu identiti dan agama sebagai keutamaan.

Kini, menjelang satu lagi medan pilihan raya, naratif berubah lagi. Tumpuan beralih kepada perpaduan Melayu, dengan cakap-cakap mengenai kerjasama UMNO dan Pas kembali menjadi perhatian.

Bagi penyokong, ia mungkin strategi terbaik. Bagi pengkritik, ia sekadar percaturan politik. Apa pun, sekali lagi rakyat diminta menilai berdasarkan naratif dibawa.

Merak Jalanan tidak mempertikaikan hak mana-mana parti menyusun strategi. Itulah lumrah demokrasi. Parti politik memang diwujudkan untuk menang pilihan raya.

Namun, rakyat juga tidak seharusnya menjadi penumpang kepada strategi yang berubah mengikut musim. Jangan sampai semangat mempertahankan sesuatu naratif hari ini bertukar menjadi alasan untuk mempertahankan naratif yang bertentangan esok.

Natijahnya, demokrasi matang bukan sekadar memberi ruang parti memilih strategi, tetapi memastikan rakyat terus memilih berdasarkan pertimbangan sendiri, bukannya sekadar mengikut arah tiupan angin politik. Kerana apabila naratif sentiasa berubah, yang paling penting jangan sampai prinsip turut berubah bersamanya.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!