Tarik pelabur jadi fokus Teo Kok Seong pacu ekonomi Bahau

JEMPOL – Menarik lebih ramai pelabur bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau, Teo Kok Seong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Penyandang kerusi itu berkata, kemasukan pelaburan baharu bukan sahaja mampu merancakkan ekonomi setempat malah memberi limpahan manfaat kepada masyarakat khususnya golongan muda.
"Kita mahu lebih ramai pelabur datang ke Bahau sama ada membuka kilang atau premis perniagaan kerana setiap pelaburan akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
"Apabila pelabur masuk, tanggungjawab kita adalah membantu memudahkan proses supaya mereka dapat beroperasi dengan baik dan seterusnya memberi peluang kepada rakyat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Kok Seong yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan berkata, antara contoh kejayaan menarik pelaburan ialah apabila kemasukan syarikat besar ke sesuatu kawasan yang bukan sahaja membuka perniagaan, malah mencipta banyak peluang pekerjaan.
Beliau berkata, usaha menarik pelaburan itu akan diperkukuhkan menerusi pembangunan tenaga kerja tempatan termasuk pembinaan sebuah kampus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) baharu di Bahau hasil kerjasama Kolej Yayasan Negeri Sembilan dengan pihak swasta.
"Kampus TVET itu dijangka mampu menampung kira-kira 400 pelajar dan ia satu berita baik kepada anak-anak muda yang mahu menceburi bidang kemahiran tinggi tanpa perlu pergi jauh untuk mendapatkan pendidikan tersebut," katanya.
Ujarnya, kewujudan pusat latihan berkenaan juga mampu menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri sekali gus menyokong usaha menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan Bahau.
Selain fokus ekonomi, Kok Seong berkata, beliau akan meneruskan usaha menaik taraf kemudahan awam di kawasan DUN Bahau termasuk sistem perparitan, lampu jalan, jalan raya dan kemudahan di kawasan pekan serta kampung.
Beliau berkata, sejak 2018 pelbagai projek penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk menaik taraf kawasan Pekan Batu Kikir, Pasar Besar Bahau, medan niaga dan kemudahan awam bagi memberi keselesaan kepada peniaga serta penduduk.
"Usaha menaik taraf infrastruktur ini adalah berterusan kerana kemudahan yang baik penting untuk memastikan rakyat mendapat persekitaran yang lebih selesa dan selamat," katanya.
Dalam aspek kebajikan, Kok Seong berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada keperluan masyarakat termasuk bantuan kepada warga emas, institusi pendidikan dan program kemasyarakatan tanpa mengira kaum.
Menurutnya, kerajaan negeri juga meneruskan inisiatif sumbangan RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka, selain bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Kok Seong yang juga penyandang kerusi DUN Bahau berdepan saingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Chong Fui Ming.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
