'Saya pegang tangan kakak tapi arus terlalu deras'

Nur Afizul menunjukkan gambar kenangan bersama kakaknya
ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada awal pagi Sabtu.
Nur Afizul menunjukkan gambar kenangan bersama kakaknya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR – "Saya sudah pegang tangan kakak, tetapi arus terlalu deras hingga genggaman kami terlepas."

Demikian luahan pilu Nur Afizul Sukri, 21, yang terkilan kerana gagal menyelamatkan kakaknya, Nur Atikah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3, dalam tragedi kepala air di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, Kulim pada Jumaat.

Menurutnya, ketika kejadian dia sempat memegang tangan kakaknya, namun arus deras yang membawa bersama serpihan kayu dan batu menyebabkan mereka terpisah.

"Kakak saya dah pegang saya, tetapi air terlalu kuat. Saya pun hampir lemas dan tertelan air. Badan saya pula terhentak pada batu dan kayu balak sebelum kakak hilang dibawa arus," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), awal pagi Sabtu.

Nur Afizul berkata, selepas berjaya menyelamatkan diri, dia segera mencari kakaknya di sepanjang sungai, namun hanya sempat membantu menyelamatkan dua remaja perempuan yang turut dihanyutkan arus sebelum mereka diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.

Nur Atikah
Nur Atikah

Katanya, sebaik dimaklumkan kakaknya ditemui penduduk kampung kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka berkelah, dia bergegas ke tempat kejadian dan cuba memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

"Mulut kakak masih berbuih dan air masih keluar ketika saya menekan dadanya. Saya cuba lakukan CPR, tetapi saya sudah terlalu letih selepas bergelut dengan arus deras dan akhirnya tidak lagi mampu meneruskannya," katanya dengan nada sebak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia bersama ahli keluarganya tiba di kawasan rekreasi itu kira-kira jam 11.45 pagi sebelum mereka berkelah dan mandi-manda seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, suasana ceria bertukar menjadi tragedi apabila fenomena kepala air berlaku secara tiba-tiba sehingga menghanyutkan beberapa pengunjung.

Dalam kejadian itu, Nur Atikah dan Muhammad Aariz Daniel disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, turut terkorban.

Muhammad Aariz Daniel
Muhammad Aariz Daniel

Sementara itu, penduduk setempat yang juga pengusaha inap desa, Abd Padhil Ghani, 64, berkata, kejadian kali ini berlaku terlalu pantas tanpa petanda awal seperti yang lazim berlaku sebelum ini.

Menurutnya, dalam kebanyakan insiden terdahulu, penduduk biasanya menerima maklumat lebih awal melalui kumpulan WhatsApp selain siren amaran dibunyikan apabila paras air di kawasan hulu meningkat.

"Biasanya apabila hujan lebat di kawasan hulu, kami akan dimaklumkan dan mempunyai kira-kira 30 hingga 40 minit untuk memberi amaran kepada pengunjung supaya beredar.

"Tetapi kali ini semuanya berlaku terlalu cepat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!