FIFA perkenal cincin juara Piala Dunia

NEW YORK - Juara Piala Dunia FIFA 2026 bakal menerima cincin kejuaraan selain trofi dan pingat emas tradisi.
Cincin khas itu akan disampaikan kepada pasukan juara selepas perlawanan akhir Piala Dunia yang menyaksikan pertembungan Sepanyol dan Argentina di Stadium New York New Jersey pada Ahad.
Cincin itu merupakan sebahagian daripada koleksi edisi terhad berjumlah 2,026 unit, dengan setiap satu dinomborkan secara individu sebagai memperingati Piala Dunia 2026.
Sebanyak 30 cincin bakal diberikan kepada anggota pasukan yang muncul juara dan baki 1,996 cincin akan dipasarkan sebagai barangan memorabilia rasmi berlesen di seluruh dunia.
Setiap cincin menampilkan ukiran trofi Piala Dunia FIFA manakala satu sisi lagi diukir khas dengan identiti pasukan yang dinobatkan sebagai juara.
Pengenalan cincin kejuaraan itu mencipta sejarah baharu dalam Piala Dunia apabila FIFA dikatakan cuba mengadaptasi tradisi sukan profesional di Amerika Utara yang sejak sekian lama menganugerahkan cincin eksklusif kepada pasukan juara sebagai simbol kejayaan selain trofi dan pingat emas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

