BN tanding 25 kerusi cerminkan semangat Konsensus Nasional Baharu - Pemuda Wawasan

SHAH ALAM – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dilihat mencerminkan semangat Konsensus Nasional Baharu.
Penggerak Pemuda Parti Wawasan Negara (Wawasan), Dr Muzzammil Ismail berkata, langkah itu merupakan perkembangan positif ke arah pembinaan sebuah Rumah Bangsa yang menghimpunkan parti-parti berteraskan perjuangan Melayu-Islam dan nasionalisme.
Menurut beliau, pihaknya menyokong dan mendukung setiap usaha yang ikhlas ke arah kerjasama antara BN, Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti yang berkongsi asas perjuangan sama.
Jelasnya, politik tidak seharusnya terus terperangkap dalam persaingan yang memecah-belahkan sehingga melemahkan kekuatan bersama.
"Sebaliknya, kita memerlukan sebuah model politik baharu yang mengutamakan kestabilan, kematangan politik serta kerjasama ummah yang lebih tersusun dan berprinsip," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Pemuda Wawasan menyambut baik pengumuman BN bertanding di 25 kerusi DUN pada PRN sebagai satu langkah positif ke arah memperkukuh semangat kerjasama dalam kerangka Konsensus Nasional Baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

