Kabinet perlu dibubarkan, kembalikan mandat kepada rakyat - Pemuda Wawasan

SHAH ALAM - Pemuda Parti Wawasan Negara mendesak supaya kabinet kerajaan Persekutuan dibubarkan bagi membolehkan mandat dikembalikan kepada rakyat menerusi pilihan raya.
Ketua Penggerak Pemuda Nasional Parti Wawasan Negara, Ts Dr Muzzammil Ismail berkata, kerajaan sedia ada dilihat tidak lagi stabil, justeru langkah terbaik ialah memulangkan semula mandat kepada rakyat.
"Pemuda PH sepatutnya mendesak pembubaran Parlimen atau kabinet kerajaan, bukannya menggesa menteri dan timbalan menteri daripada UMNO-BN meletakkan jawatan.
"Jelas pada hari ini, kerajaan yang ada tidak stabil dan sebaiknya mandat ini dipulangkan semula kepada rakyat iaitu melalui jalan pilihan raya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda Wawasan Negara menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Katanya, langkah itu merupakan perkembangan positif dalam semangat Konsensus Nasional Baharu dan pembinaan Rumah Bangsa yang menghimpunkan parti-parti berteraskan perjuangan Melayu-Islam serta nasionalisme.
Beliau berkata, pihaknya turut menyokong setiap usaha ke arah kerjasama antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti yang berkongsi asas perjuangan yang sama.
"Politik tidak seharusnya terus terperangkap dalam persaingan yang memecah-belahkan sehingga melemahkan kekuatan bersama.
"Sebaliknya, kita memerlukan model politik baharu yang mengutamakan kestabilan, kematangan politik serta kerjasama ummah yang lebih tersusun dan berprinsip," katanya.
Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, keserasian antara jentera BN dan PN dapat dilihat apabila kedua-dua pihak berhimpun serta memberikan sokongan bersama di semua pusat penamaan calon.
Beliau turut mendoakan agar semua calon PN dan BN yang bertanding diberikan kekuatan serta mencapai keputusan terbaik dalam pilihan raya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

